18 February 2009

Mendoakan Kebaikan Keberkatan



Dari Abu Musa radhiyallahu ‘anhu (r.a.), katanya:
“Telah dilahirkan untukku seorang bayi lelaki lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. dan baginda menamakannya Ibrahim lalu ditahnikkannya dengan sebiji buah kurma. Beliau mendoakan keberkatan dan kemudiannya memulangkannya kembali kepadaku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Aqiqah, no. 376)
Aqiqah Dan Mencukur Rambut Bayi

Aqiqah di sini dimaksudkan dengan menyembelih haiwan dan mencukur rambut si bayi.

Dari satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya):

“Sesuatu yang perlu mengiringi bayi yang lahir itu adalah aqiqah. Oleh itu, sembelihlah untuk tujuan aqiqah itu dan singkirkanlah darinya bahaya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Aqiqah, no. 380)

Dalam hadis yang lain,

“Setiap anak (yang lahir) dipelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke tujuh, lalu diberi nama dan dicukur rambutnya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi. Disahihkan oleh al-Albani. Lihat: Sahihul Jami’ oleh al-Albani, no. 4184)

Hukum Aqiqah;

Hukum aqiqah, menurut Sheikh Dahlawi rahimahullah (r.h.), “Disunnahkan bagi orang yang memiliki atau mampu membeli dua ekor kambing agar menyembelih dua ekor untuk anak- lelaki.” (Rujuk: Hujjatullah al-Baalighah, 2/144)

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal r.h., “Sesungguhnya aqiqah itu menghidupkan sunnah dan aku berharap agar Allah memberi ganjaran yang setimpal.” (Rujuk: Kitab Tuhfat al-Maulud, m/s. 39)

Menurut Imam Malik, “Persoalan aqiqah menurut pandangan kami adalah bahawa orang yang menyembelih aqiqah. Ia boleh melakukan aqiqah untuk anaknya dengan kambing, sama ada kambing jantan mahupun betina. Aqiqah itu bukanlah wajib, akan tetapi mustahab (disukai/sunnah) dan ia sentiasa diamalkan oleh orang-orang dari kalangan kita.” (al-Muwattha’, Kitab Aqiqah (26), no. 7)

Disunnahkan Pada Hari Ketujuh;

“Setiap anak (yang lahir) dipelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke tujuh...”

Dalam riwayat yang lain, ath-Thabrani dan Dhiya’ juga meriwayatkan secara marfu’ dari Buraidah r.a., “Aqiqah itu disembelihkan pada hari ke tujuh, atau ke empat belas, atau dua puluh satu.” (Lihat: Shahihul Jami’, no. 4132)

Jika melihat zahir hadis, ia jelas menunjukkan bahawa disunnahkan aqiqah itu pada ari yang ke tujuh. Namun ada sebahagian pendapat menyatakan dibolehkan ber-aqiqah pada hari yang lain jika tidak dapat pada hari yang ke tujuh. Sebagaimana pendapat Ibnul Qayyim,

“Melakukan aqiqah pada hari ke tujuh adalah sunnah. Namun, jika disembelih pada hari ke empat, ke lapan, ke sepuluh, atau selepasnya tetap dikira sebagai aqiqah. Aqiqah itu dikira mengenai hari penyembelihan bukannya hari dimasak dan dimakan.” (Rujuk Tuhfat al-Maulud, m/s. 43) Wallahu a’lam...

Haiwan Sembelihan;

1 – Aqiqah itu dilakukan untuk anak lelaki adalah dengan dua ekor kambing dan bagi anak perempuan adalah dengan seekor kambing. Dan jantina haiwan itu tidak mengapa sama ada jantan ataupun betina.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Asma’ binti Yazid secara marfu’, “Aqiqah adalah hak yang mesti ditunaikan. Untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sepadan, dan untuk anak perempuan satu ekor kambing.” (Disahihkan oleh al-Albani, lihat: Shahihul Jami’, no. 4106 dan 4107)

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha (r.anha), berkata: “Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing, dan untuk anak perempuan adalah satu ekor kambing”.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 1565. Ibnu Majah, no. 3163. Disahihkan oleh al-Albani)

Menurut Imam Malik, “Persoalan aqiqah menurut pandangan kami adalah bahawa orang yang menyembelih aqiqah. Ia boleh melakukan aqiqah untuk anaknya dengan kambing, sama ada kambing jantan mahupun betina...” (al-Muwattha’, Kitab Aqiqah (26), no. 7)

2 – Haiwan mestilah sihat, sempurna, dan tidak cacat.

Menurut Imam Malik, “Mereka yang melaksanakan aqiqah untuk anaknya, sama hal nya dengan melaksanakan ibadah kurban. Binatang yang disembelih tidak boleh buta sebelah matanya, tidak boleh kurus, cacat, atau sakit. Juga tidak boleh dijual dagingnya mahupun kulitnya dan tidak boleh dipatahkan tulangnya. Keluarga yang melakukan aqiqah boleh makan dagingnya dan menyedekahkannya kepada orang lain. Namun, si anak tidak boleh menyentuh darahnya.” (al-Muwattha’, Kitab Aqiqah (26), no. 7)

Mecukur Keseluruhan Rambut Bayi;

“Setiap anak (yang lahir) dipelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke tujuh, lalu diberi nama dan dicukur rambutnya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi. Disahihkan oleh al-Albani. Lihat: Sahihul Jami’ oleh al-Albani, no. 4184)

Selain melaksanakan ‘aqiqah, disunnahkan untuk mencukur keseluruhan rambut si anak sebagaimana hadis di atas.

Kemudiannya, rambut yang telah dicukur, disunnahkan juga untuk menimbangnya dan kemudian mengeluarkan sedekah berdasarkan kiraan berat rambut yang ditimbang dengan beberapa keping perak. Iaitu menukarkan berat rambut dengan berat perak.

Imam Malik meriwayatkan, bahawa “Fatimah, anak Rasulullah (s.a.w.) menimbang rambut Hasan, Husein, Zainab, dan Ummi Kaltsum dan mengeluarkan sedekah mengikut kiraan berat rambut yang ditimbang dengan (nilai) perak.” (al-Muwattha’, Kitab Aqiqah (26), no. 2)

Memberikan nama;

Disunnahkan juga memberi nama kepadanya jika ia belum diberikan nama pada hari ‘aqiqah dilaksanakan atau ketika rambut dicukur, sebagaimana hadis “...lalu diberi nama dan dicukur rambutnya” iaitu dengan memberikan kepadanya nama yang baik. Ini dapat dilihat dalam beberapa hadis antaranya,

Dari Abu Wahb al-Jusyami r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Namailah (anak-anakmu) dengan nama-nama para nabi. Sedangkan nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan Abdurrahman, dan nama yang paling benar adalah Harits dan Hammam, sedangkan nama yang paling buruk adalah Harb dan Murrah.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i. Sanad Hadis ini majhul, namun dapat dikuatkan dengan beberapa hadis-hadis yang lain. Lihat: Jami’ al-Ushul, 1/357, Tahqiq Syu’aib al-Arnauth)

Dari Abu Basrah, Nabi s.a.w. bersabda, “Sebaik-baik nama kamu adalah Abdullah dan Abdurrahman serta Harits.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani. Lihat: Shahihul Jami’, no. 3269)

Ibu bapa hendaklah menjauhi diri dari meletakkan/memberikan nama kepada anak tersebut dengan nama-nama yang khusus bagi Allah seperti al-Ahad (yang Esa), al-Kholiq (yang Maha Pencipta), dan seumpamanya. Juga janganlah sekali-kali meletakkan nama dengan nama-nama yang buruk dan memiliki maksud yang tidak elok.

Sheikh Dr. Bakr bin Abdullah Abu Zaid menyatakan, “Kuniyah (nama panggilan) kepada bayi juga akan mendatangkan kesan yang amat besar ke atas dirinya. (Rujuk: Tasmiyat al-Maulud, m/s. 706, oleh Sheikh Dr. Bakr)

Doa Agar Dikurniakan Anak Yang Soleh

Doa adalah salah satu perkara yang agung yang dimiliki oleh orang-orang yang beriman sebagai suatu bentuk penghubung dirinya kepada Allah s.w.t.. Melalui doa, Allah s.w.t. memberi peluang kepada kita untuk memohon sesuatu yang diperlukan dan diingini. Malalui doa jugalah Allah akan membantu kita dengan mengabulkan apa yang diingini oleh hati-hati kita. Allah s.w.t. berfirman:

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (al-Baqarah, 2: 186)

Melalui al-Qur’an sendiri, terdapat banyak kisah-kisah dan doa-doa yang boleh menjadi contoh kepada para keluarga, pasangan suami isteri, dan mereka yang berkaitan, tentang kehebatan doa agar dikurniakan cahaya mata serta meraih kurniaan anak yang sholeh.

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::