29 July 2013

Kelantan Diundi Dalam Kumpulan Maut


JUARA bertahan Piala Malaysia, Kelantan dijangka berdepan tugas getir untuk mengekalkan piala itu bagi tahun kedua berturut-turut apabila diundi dalam kumpulan maut bersama tiga bekas juara.
Pada majlis undian yang diadakan di Pusat Konvensyen TM, di sini hari ini, juara Piala FA 2013 itu diundi dalam kumpulan C bersama dua jiran mereka iaitu Pahang dan Terengganu selain juara tiga kali, Negeri Sembilan.
Juara Liga Super, Lions XII FC sebaliknya berpeluang cerah untuk menempah slot ke suku akhir berdasarkan faktor kelebihan beraksi di atas padang rumput tiruan di Singapura walaupun diletakkan dalam Kumpulan D bersama juara Liga Perdana, Sarawak serta Perak dan Kedah.
Dalam saingan kumpulan A, juara 32 kali, Selangor, yang merupakan naib juara Liga Super musim ini, diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sime Darby FC dan Johor FA.
Pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) yang meraih tangga ketiga dalam saingan Liga Super musim ini, bakal mengetuai cabaran dalam kumpulan B bersama tiga pasukan berstatus kelab iaitu Selangor PKNS FC, T-Team dan Felda United FC.
Perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Malaysia hanya dijadualkan bermula pada 20 Ogos ini untuk memberi laluan kepada pasukan Kelantan dan ATM yang terlibat dalam Kejohanan Bola Sepak Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia    (FAM) – Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 12 dan 13 Ogos.
FAM masih mengekalkan format lama dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan itu layak secara automatik ke peringkat suku akhir manakala perlawanan akhir dijangka berlangsung pada 3 Nov ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – Bernama

Berikut undian Piala Malaysia 2013:

KUMPULAN A:
Selangor
Angkatan Tentera Malaysia
Sime Darby
Johor

KUMPULAN B:
Johor Darul Takzim
PKNS FC
T-Team
Felda United

KUMPULAN C:
Kelantan
Pahang
Terengganu
Negeri Sembilan

KUMPULAN D:
Lions XII
Perak
Sarawak
Kedah

TRW Bimbang Kebangkitan Pasukan Lemah


FAKTOR kebangkitan luar biasa pasukan yang kurang menyerlah pada pertengahan musim nyata dibimbangi Kelantan selaku penyandang juara Piala Malaysia, apabila memulakan saingan kempen edisi ke-87 itu, pada 20 Ogos depan.

Pengurus The Red Warriors, Azman Ibrahim berkata, ia ancaman yang semakin menjadi-jadi setiap kali pertandingan itu berlangsung sekali gus menggambarkan betapa saingan piala paling berprestij itu sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Menurutnya, Negeri Sembilan membuktikan pada 2010 dan 2011 apabila gagal menyerlah dalam saingan Liga Super, namun mencipta kejutan layak ke perlawanan akhir disusuli Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengulangi perkara sama pada musim lalu setelah menjuarai Liga Premier.

“Saya perhatikan setiap tahun, ada sahaja pasukan yang tiba-tiba menonjol. Bagi saya, tidak ada istilah pasukan pilihan dalam pertandingan ini meski pun Kelantan turun selaku juara bertahan musim lalu.

“Macam Sarawak dan Sime Darby FC, mereka dari Liga Premier, tetapi merupakan pasukan Liga Super musim depan. Jadi keupayaan mereka setanding pasukan lain. Begitu juga Kedah, yang mampu menggugat Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam Piala FA,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pasukannya berdepan misi sukar mempertahankan kejuaraan dan perlu bekerja keras kerana kempen Piala Malaysia merupakan satu pertandingan yang cukup berbeza berbanding saingan Liga Super atau Piala FA.

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::