14 August 2014

MB Selangor, contohilah Khalid al-Walid

BUDI SELANGOR Gabungan NGO-NGO Budaya dan Etnik dalam Negeri Selangor merasa amat bimbang dan rimas berkaitan perkembangan politik terkini Selangor.

BUDI sangat mengharapkan senario kucar kacir ini selesai segera dalam aman damai dengan semangat kesetiawanan serta harmoni.

Badan NGO seperti BUDI tidak bersikap politik kepartian, apa yang kami harapkan bila mana wujud kekeruhan akan muncul kejernihan manakala kekusutan yang muncul akan ada keharmonian.

BUDI sebagai badan NGO berpegang kepada prinsip bahawa setiap individu mesti akur dan patuh kepada amalan peraturan tata etika serta tata kelola badan pertubuhan.

Setiap NGO sepertimana parti politik mempunyai jawatankuasa, keputusan jawatankuasa mesti dipatuhi setiap ahli. Maka bagi seorang ahli yang tidak menghormati keputusan ahli jawatankuasa adalah seorang yang tidak punya disiplin serta tanggungjawab.

Khalid al Walid, yang terkenal ‘pedang Islam' dilucut jawatan sebanyak dua kali oleh Khalifah Umar al-Khattab iaitu pada tahun 13 Hijrah sebagai panglima perang sejurus selepas Saidina Umar dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah sebagai gabenor di Syria.

Namun kedua-dua peristiwa ini tidak mengubah kehormatan Khalid terhadap Khalifah Umar.

Demikian hormat dan keyakinan Khalid terhadap Umar walau dalam keadaan beliau dilucutkan jawatan, amat difahaminya tindakan Umar untuk mengelak fitnah, bukan mencipta fitnah.

Kisah panglima perang Islam handal yang telah mengepalai beberapa peperangan yang berakhir dengan kemenangan iaitu Khalid al Walid, namun jawatan Khalid al-Walid telah dilucutkan oleh Khalifah Umar al Khattab.

Apa yang menariknya Khalid al-Walid dengan penuh tanggungjawab dan hormat kepada ketuanya tidak mempertikaikan keputusan ketuanya serta tidak sedikitpun mengungkit jasanya serta tidak mempersoalkan apakah kesalahannya.

Kehebatan jiwa Khalid al-Walid ini sangat kami harapkan ada dalam jiwa dan diri Tan Sri Dato’ Seri Abul Khalid bin Ibrahim.

BUDI menyanjung tinggi serta menghormati ketekunan serta integriti yang ditunjukkan oleh Tan Sri Khalid, namun begitu keputusan organisasi serta matlamat organisasi jauh mengatasi matlamat individu.

BUDI  menuntut agar Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim dengan rela hati mengundur diri dan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor.

BUDI membuat gesaan ini adalah selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh PKR yang mana Tan Sri Khalid menjadi anggotanya, serta keputusan Pakatan Rakyat yang menjadi gabungan bagi tertubuhnya kerajaan campuran di Selangor.

Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Majlis Presiden Pakatan Rakyat telah sebulat suara bersetuju menukar Tan Sri Khalid dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Maka berdasarkan keputusan ini, BUDI mengesa agar Tan Sri Khalid akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh PKR dan Pakatan Rakyat.

BUDI bersama ahli-ahlinya antara Badan NGO yang aktif dalam memastikan sokongan rakyat kepada pembentukan Pakatan Rakyat sejak 1999 hingga 2008 serta bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor pada 2013.

Badan-Badan NGO juga sangat mengharapkan sumbangan NGO-NGO yang menyokong usaha memartabatkan rakyat di hargai dan diberikan perhatian.

BUDI cukup yakin jiwa besar yang ditunjukan oleh Tan Sri Khalid akan mendapat sanjungan dan penghormatan daripada rakyat.

Sudah pastinya Pakatan Rakyat Selangor akan memberikan kedudukan serta tanggungjawab yang bersesuainya dengan pengalaman yang ada pada beliau.

Pastinya juga keputusan untuk melucutkan jawatan Menteri Besar adalah kerana satu agenda yang lebih besar yang telah difikirkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

JAMALI SALAMON Pengerusi Gabungan NGO-NGO Budaya dan Etnik dalam Negeri Selangor (BUDI SELANGOR) dan Setiausaha Agung Ikatan Jawa Sejiwa Selangor (iJawa)
 

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::