Kerajaan Kelantan hari ini menetapkan 27 hari cuti tambahan dengan bayaran insentif khas untuk penjawat awam wanita negeri itu yang baru kematian suami. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Kelantan Mumtaz Mat Nawi berkata penjawat awam berkenaan melibatkan mereka berjawatan tetap dan kontrak serta diberikan sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan.

"Sebelum ini, mereka mendapat cuti tiga hari dengan gaji penuh," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata tambahan cuti itu bukan cuti automatik sebaliknya cuti pilihan yang diberikan kepada penjawat awam wanita dan tidak boleh dibawa ke hadapan atau diganti dengan imbuhan lain.

Keputusan itu dibuat sebagai mematuhi kehendak syariah daripada sudut edah kematian suami dan bagi menjaga kebajikan wanita daripada sudut emosi. 

"Ia juga dilihat daripada sudut kesediaan balu itu dalam mengurus kehidupan setelah kematian suami," kata Mumtaz.

Beliau berkata keputusan itu akan dilaksanakan setelah mendapat pengesahan dalam mesyuarat akan datang dan akan dikuatkuasakan serta-merta.

Menurutnya penetapan itu tidak memberi implikasi yang buruk kepada sesebuah jabatan walaupun penjawat awam itu terpaksa menangguhkan tugas kerana cuti ini hanya diberikan sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan mereka.

"Implikasinya tidak mengganggu tugas, lebih tinggi lagi wanita yang bersalin berbanding wanita yang kematian suami kerana kematian suami hanya berlaku sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga telah menyediakan Skim Manfaat Armalah (ibu tunggal) kepada balu yang baru kematian suami dan berpendapatan rendah, berdasarkan kepada jumlah bilangan anggota keluarga.

Bernama