24 February 2011

Keyakinan Dalam Berdoa

Dari Anas r.a katanya: Rasulullah saw bersabda:
Apabila kamu berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah taala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu berdoa dengan kalimah: Ya Allah, jika Engkau mahu, berilah aku! Kerana sesungguhnya Allah Taala tidak dipaksa memenuhi sesuatu doa


Keterangan Hadis;
Sesorang muslim itu hendaklah bersemangat (untuk mencapai) apa yang bermanfaat untuk dirinya serta meminta pertolongan kepada Allah tanpa merasa lemah dan putus asa. Berdoa mestilah mengikut adab-adabnya supaya menampakkan kesungguhan harapan untuk mendapatkan sesuatu kerana Allah SWT hanya akan menerima doa dari orang yang betul-betul berhajat.

Menjaga Rahsia Rumahtangga

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah di hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajat padanya kemudian ia menceritakan rahsia itu.

Riwayat Ahmad

Keterangan Hadis;

1. Setiap yang bergelar isteri atau suami pasti mempunyai kehidupan peribadi yang dikongsi dengan pasangan masing-masing. Sebahagiannya merupakan rahsia rumah tangga yang harus dijaga dengan waspada.


2. Jika rahsia tersebut disebarkan sudah tentu salah seorang akan terdedah kepada aib, pandangan serong, kata nista, umpatan, gangguan dan sebagainya. Dengan kata lain, rahsia rumah tangga ialah sesuatu yang hanya boleh dikongsi bersama antara suami isteri atau dengan anak-anak, kerana ia melibatkan soal maruah, nasib masa depan dan keselamatan keluarga. Ini dibayangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda yang bermaksud: "Tiadalah yang lebih memberi manfaat kepada seseorang yang beriman selepas ia bertaqwa kepada Allah, yang lebih baik daripada memiliki seorang isteri yang solehah. Jika disuruh nescaya ditaatinya dan apabila dipandang menyukakan hati dan jika ia tiada bersama ia akan memelihara nama baiknya sama ada pada dirinya atau harta suaminya." (An-Nasa'i, Ahmad & Abu Daud)

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::