30 August 2010

Ibadah Semasa Ramadhan & Selepas Ramadhan

1) Berjalan di hadapan orang yang sedang solat ;

Sebagaimana yang kita lihat, di bulan Ramadhan ini ramai individu yang amat jarang menunaikan solat di masjid akan hadir berbondong-bondong ke masjid bagi memperolehi pahala sunat tarawih. Hasilnya, ramailah orang yang kurang ilmu, tidak faham adab dan tatacara di masjid juga telah hadir.

Menurut pengalaman di masjid-masjid dan surau, saya dapati terlalu ramai individu yang lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sunat. Disebabkan masjid yang penuh dan pelbagai ragam manusia, seringkali ada yang keluar masuk.

Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.

Nabi s.a.w menegah dengan katanya yang bermaksud;
"Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 (tahun, hari dana bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu" (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun)
( Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam An-Nawawi yang berkata : "hadis ini menunjukkan besar dosa, bagi seseorang melintas di hadapan orang yang sedang solat dan makna hadis ini membawakan larangan keras dengan balasan yang dahsyat, justeru ia tergolong dalam kategori dosa-dosa besar" (Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar )

Ibu bapa kerap membawa anak mereka di masjid di waktu begini. Menjadi kemestian ke atas ibubapa untuk menjaga anak mereka sedaya mampu, agar tidak bertindak berlari di hadapan orang yang sedang solat ini.


2) Membiarkan orang lalu dihadapannya (ketika solat) tanpa di tahan.

Jika lalu di hadapan orang yang sedang solat adalah kesilapan, maka ia juga satu kesalahan bagi bagi orang yang sedang solat itu sekiranya ia tidak bertindak menghalang.

Nabi s.a.w menyebut yang bermaksud:
"Apabila seorang kamu menunaikan solat dengan telah ada petanda atau penghadang di hadapan kamu dari orang ramai (sebagai isyarat tempat ia solat- ia dinamakan 'sutrah'), tiba-tiba ada orang yang ingin melintas di hadapanmu, hendaklah kamu menahannya dari lalu, sekiranya dia enggan hendaklah kamu lawaninya dengan kuat kerana dia adalah Syaitan." (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, lafaz di atas riwayat Abu Daud )

Kita perlu menyedari bahawa solat adalah satu munajat berdua-dua dan berhadapan dengan Allah s.w.t, mana mungkin dibenarkan ada orang yang lalu melintas tatkala kita sedang berdua-duaan dengan Allah secara 'face to face'.

Apa pandangan anda jika kita sedang ingin menerima 'scroll' ijazah dari seorang canselor yang juga merupakan seorang sultan, tibatiba ada orang mencelah di antara kita dengan sultan tersebut?, Sudah tentu yang lalu tadi akan menerima darjah dan sijil 'pelempang' (penampar) dari sultan tersebut agaknya.
Kerana ia adalah penghinaan kepada sultan dan penerima ijazah tadi sekaligus.


3) Meludah di masjid

Maklumlah, hadir ke masjid selepas berbuka dengan perut penuh, di musim selsema dan berkahak ini, ramai kelihatan meludah di sana sini di masjid. Makin ramai makin banyak ragamnya.

Ketahuilah Nabi s.a.w menegah kita meludah sesuka hati di masjid, sebagaimana kata baginda yang bermaksud:
"Meludah di masjid adalah satu dosa (kesalahan), dan sebagai balasannya, hendaklah ia melupuskannya ludahnya tadi dengan menimbusnya"
( Riwayat Al- Bukhari, Abu Daud )


4) Tidur semula selepas sahur

Telah disebutkan bahawa waktu sahur adalah waktu yang dipenuhi keberkatan dan kemaqbulan doa. Justeru, tabiat tidur semula setelah makan sahur sementara menunggu waktu subuh adalah satu kesilapan. Inilah tabiat yang menyebabkan masjid dan surau tidak penuh di waktu subuh.

Tidur selepas makan sahur menyebabkan tubuh menjadi semakin layu dan mengantuk yang amat sangat. Keadaan ini pastinya menjadi punca solat subuh di rumah berseorangan atau lebih teruk, terlewat subuh.

Amat rugilah mereka yang tidak menjaga waktu sebegini serta tidak mengisinya dengan doa dan istighfar.
Allah berfirman yang bermaksud;
"Orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur"
( Al-Imran : 17 )


5) Menunaikan semua solat sunat di masjid dan tiada di rumah.

Tidak dinafikan, di bulan mulia ini ramai yang bersungguh ingin mendapatkan pahala sunat, solat sunat kerap dilakukan sejurus solat fardhu di masjid dan surau.

Cuma orang ramai perlu tahu bahawa, solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah berbanding di masjid dan surau, ia lebih mampu menjaga diri dari perasaan riya, ujub dan takbur.

Kecualilah solat sunat terawih dan bagi individu yang jauh rumahnya dari masjid,
hingga terpaksa menunaikan solat-solat sunat selepas dan sebelum solat fardhu di masjid.

Bagaimanapun, adalah satu kesilapan sekiranya tidak dilaksanakan sebarang solat sunat ketika di rumah, seperti solat tahajjud, witir
dan lain-lain.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud;
"jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumahmu dan jangan biarkan rumahmu menjadi seperti kubur ( akibat tiada solat sunat)"
(Riwayat Muslim)

Majority ulama berpendapat solat sunat lebih baik dilaksanakan di rumah disebabkan ia lebih tersorok daripada pandangan ramai
( Syarah Sohih Muslim, Imam An-nawawi )


6) Banyak berdoa tetapi tidak memahami apakah maksud doanya
Ini satu lagi penyakit yang menular meluas dalam masyarakat kita, memang amat baik untuk menghafal doa yang sohih dari Al-Quran dan dari baginda Nabi s.a.w, tetapi ia akan tergugat apabila anda tidak memahami apakah doa yang diulang-ulangnya itu.

Terdapat tuan imam yang membaca dari buku sahaja doa yang panjang lebar, dengan tergagap-gagap. Selepas tamat berdoa, ditanyakan adakah beliau faham kandungan doa itu, ia berkata hanya faham 10 % sahaja. Mujurlah ada yang faham, bagaimana jika 0 % faham.

Jika tuan imam hanya 10 % faham, bagaiamana pula dengan makmum dari orang biasa ini?. Bolehkah doa tanpa faham ini menjadi maqbul dengan serta merta ?, bolehkah sesuatu doa yang tidak difahami maskudnya boleh lahir dari hati, jiwa dan penuh perasaan dari orang yang berdoa?.

Perbincangannya mungkin sedikit panjang, Cuma cukuplah saya ingin mengingatkan ia adalah salah satu bentuk kesilapan di bulan Ramadhan yang dipenuhi doa ini.

Segeralah mencari terjemahan doa yang anda baca agar kesungguhan meminta apa yang diucapkan sampai kepada Allah s.w.t.

Nabi s.a.w mengingatkan yang bermaksud;
"Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ianya diterima Allah, dan ketahuilah Allah tidak menerima doa dari orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh"
( Riwayat At-Tirmidzi, no 3479 : AlMunziri dan Albani : Sanad & Hadis Hasan )


7) Tidak merapatkan saf semasa solat berjemaah

Jarak dua kaki menjadi penting dan tergolong dalam sunnah yang khusus apabila menunaikan solat secara berjemaah. Ini kerana ketika solat berjemaah, saf perlu dirapatkan bersumberkan hadis-hadis yang banyak antaranya yang bermaksud;
1)"Luruskanlah saf kamu (ketika solat) sesungguhnya aku nampak kamu dari belakangku"( al-Bukhari )
2)"Mestilah kamu meluruskan saf kamu atau Allah akan mengalihkan wajah-wajah kamu" (Abu Daud)

Maksud bagi pengalihan wajah ini ditafsirkan oleh para ulama sebagai :
a- Benar-benar wajah akan dialihkan oleh Allah swt kelak.
b- Perpecahan hati dan hilang kesatuan, pergaduhan juga akan semakin subur. Demikian huraian Imam An-Nawawi.

Hadis di atas amat penting dan memberikan ancaman bagi mereka yang bermalasan dalam merapat dan meluruskan saf. Ia menunjukkan besarnya kesalahan tidak melurus dan merapatkan saf, berdasarkan hadis tersebut, para ulama menyatakan hukum wajib bagi merapatkan saf ketika solat jemaah.

Tanpa displin tersebut akibatnya adalah manusia akan berada dalam rasa keegoan masing-masing hingga merasakan geli untuk menyentuh kaki ahli jemaah di sebelah mereka, di samping itu ia juga meunjukkan jemaah tersebut kurang ilmunya hingga akhirnya tindakan ini jika dibiasakan maka Allah swt akan membiarkan berlakunya permusuhan dan pertengkaran dalam masyarakat ini.

Melurus dan merapatkan saf bererti mesti menjaga kaki, justeru dalam keadaan tersebut, perlu di ingat kadar yang telah diletakkan oleh para ulama di atas.


Akhirnya, semoga kesilapan ini dapat dielakkan di ketika kita menghidupkan Ramadhan dan berterusan dapat dielakkan selepas Ramadhan.

Semoga kita dapat sama-sama ke syurga Allah s.w.t

Amin.

No comments:

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::