11 March 2011

Sihir, Santau dan Ilmu Hitam?

"Perasaan hasad dengki merupakan salah satu sikap yang biasa kita dapati
dalam diri seseorang. Sikap dengki yang keterlaluan terhadap seseorang
adakalanya menyebabkan seseorang bertindak di luar batas etika
perikemanusiaan sehingga sanggup mengenakan orang yang didengki dengan
pelbagai cara buruk seperti santau dan lain-lain. Ini mengingatkan saya
kepada satu cerita yang telah diceritakan oleh rakan study saya baru-baru
ini.

Julia (bukan nama sebenar), seorang pensyarah muda di salah sebuah
universiti awam terkemuka di Malaysia telahpun berkahwin dengan lelaki
pilihannya sendiri, Ahmad, kira-kira setahun lebih yang lalu. Pada mulanya
semuanya berjalan dengan lancar, kehidupan mereka suami isteri memang
bahagia. Kebahagiaan ini ditambah pula dengan kehidupannya yang selesa,
maklumlah kerja pensyarah, gaji pun boleh tahan besar, walaupun suaminya
hanya seorang electrical technician sahaja. Namun langit tidak
selalunya cerah, disangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengahari.

Kehidupan bahagia yang mereka kecapi mulai terganggu ketika usia
perkahwinan mereka genap setahun berikutan malang yang menimpa Julia. Entah
apa sebabnya kerjanya sebagai pensyarah selalu terganggu kerana kesihatan
yang tidak mengizinkan. Jarang sekali Julia sakit, malah batuk pun sangat
jarang dihidapinya mungkin kerana dirinya yang rajin bersenam menjadikan
antibodinya kuat melawan penyakit. Namun penyakit yang mengganggunya kini
memang betul-betul menyukarkan kehidupannya. Adakalanya disebabkan penyakit
tersebut, kerjanya yang banyak tertunda menyebabkan dia membawa masalah di
tempat kerja ke rumah. Ini secara tidak langsung menyebabkan rumahtangganya
bergolak.

Julia sering mengadu sakit kepala terasa seperti berpusing-pusing dan
berdenyut-denyut sakitnya. Malah ada masanya ketika sedang sibuk mengadap
komputer kepalanya terasa berat dan pandangannya berpinar-pinar.Bukan itu
sahaja Julia juga sering muntah-muntah dan tekaknya sering merasa loya,
malahan selera makannya juga sangat pelik. Kadangkala Julia tiada langsung
selera makan, tetapi ada masanya Julia makan terlalu banyak seolah-olah ada
sesuatu dalam dirinya yang turut makan bersama! Keganjilan selera makan
Julia sangat ketara apabila dia yang selama ini tidak menyukai taugeh
tiba-tiba
berubah sikap menjadi seseorang yang sangat sukakan taugeh.

Hari demi hari penyakit Julia bertambah teruk bila sikapnya yang periang
dan baikhati berubah kepada seseorang yang sering marah-marah. Selain itu,
Julia juga sukar tidur seperti ada sesuatu yang sering membuatkan dirinya
gelisah terutama pada waktu malam. Rakan-rakan sepejabatnya mulai syak yang
Julia terkena buatan orang lantas mengesyorkan suami Julia supaya membawa
Julia berjumpa bomoh. Namun suaminya berkeras mengatakan yang Julia
tiada apa-apa, mungkin demam biasa sahaja. Sikap suami Julia yang berdegil
tidak mahu membawa Julia pergi berubat amat mengejutkan rakan-rakan
sepejabatnya.

Di atas rasa simpati, rakan-rakan sepejabat Julia sepakat untuk membawa
Julia berjumpa bomoh tanpa pengetahuan suami Julia. Dan jangkaan mereka
tepat apabila bomoh yang mereka temui mengesahkan yang Julia terkena buatan
orang! Namun hajat mereka agar bomoh tersebut dapat membantu Julia tidak
kesampaian apabila bomoh tersebut mengatakan ianya sudah terlambat, Julia
tidak dapat diubati lagi. Walaupun bomoh tersebut tidak dapat mengubati
Julia tetapi dia dapat memberitahu siapa yang bertanggungjawab menyebabkan
Julia jadi begitu.

Apa yang memeranjatkan rakan sepejabat Julia adalah apabila bomoh tersebut
mengatakan suami Julia sendiri yang menyebabkannya jadi begitu. Kini
persoalan mereka mengapa suami Julia berkeras tidak mahu membawa Julia
berubat
terjawab sudah. Persoalan yang tinggal kini adalah mengapa suami Julia
sanggup melakukan perkara tersebut ke atas isterinya sendiri?

Memandangkan bomoh yang mereka temui gagal membantu, rakan sepejabat Julia
mengambil keputusan untuk cuba membawa Julia ke hospital pula. Di hospital,
mereka menerima satu lagi kejutan apabila doktor yang merawat Julia turut
mengesahkan Julia terkena buatan suaminya sendiri. Mana mungkin rawatan
moden juga memberikan jawapan tersebut?



Tapi yelah...memanglah Julia terkena buatan orang,
dia disahkan
mengandung 2 bulan!

Betullah terkena buatan suami sendiri. Hahahaha

No comments:

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::