22 March 2013

Dato Harun Din : Isu PAS dalam PR


WARTAWAN HARAKAH : Nampaknya seperti ada pendekatan baru Umno menyerang PAS sehingga mereka berani mendakwa bahawa haram menyokong PAS. Juga dikatakan ada barisan ulama muda dalam Umno bagi berdepan dengan PAS dalam isu-isu agama.

INI JAWAPAN HARON DIN.(DINASIHATKAN BACA SAMPAI HABIS)
Adanya ulama muda dan tua tidak menjadi benda yang ganjil. Sebab manusia selama-lamanya akan terpengaruh dengan kepentingan peribadi.

Orang yang mendakwa mengundi PAS itu haram dan mengundi Umno itu wajib, kita nak tengok juga alasan mereka terlebih dahulu. Mereka menggunakan alasan PAS bersekongkol dengan DAP yang jelas menentang hudud, maka dengan itu dikatakan undi PAS adalah haram.

Jika PAS dikatakan bersekongkol dengan orang yang menentang hudud, dan dengan itu haram sokong PAS, maka bagaimana pula Umno sendiri yang menentang hudud. Yang dikatakan wajib menyokong Umno … sedangkan Umno itu sendiri menentang hudud, iaitu lebih teruk daripada DAP menentang hudud.

Saya masih ingat surat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 1993, ketika Kanun Jenayah II Kelantan hendak dilaksanakan.
Surat itu memberi amaran keras jika kerajaan Kelantan melaksanakan hudud, kerajaan Pusat tidak teragak-agak mengambil tindakan keras.

Surat itu tidak ditarik balik sampai ke hari ini. Maknanya, bukan sahaja pemimpin agungUmno yang menentang hudud, malahan orang-orang Umno juga mempermain-mainkan hudud.
Kita juga pernah dengar, misalnya ucapan siapa nak sup tangan, pergilah ke Kelantan. Jelas mereka menentang hudud. Umno yang memegang kuasa selama 57 tahun ini, pernahkah mereka mengatakan hendak laksanakan hudud. Dengan sendirinya mereka termasuk dalam kelompok orang yang menentang hudud.

Ya, jika PAS yang masih tetap mempertahankan Islam, cuma berkawan dan bertahaluf dengan pihak yang menentang hudud, maka dikatakan haram menyokong PAS, maka Umno yang menjadi ketua kepada BN, dia sendiri menentang hudud, bagaimana pula? Sepatutnya kalaulah alasan itu dipakai, maka undi PAS pun haram dan undi Umno pun haram juga.

Ini yang kita bincang, dalam istilah politiknya tahaluf siyasi. Bila tahaluf siyasi, maka kita bertahaluf dengan bukan Islam.

Boleh atau tidak kita bertahaluf dengan bukan Islam? Nabi jawab boleh. Sebab Nabi bertahaluf dengan Bani Quraizah. Apabila Bani Quraizah melanggar tahaluf, baru Nabi berperang dengan mereka.
Tahaluf itu kerjasama. Boleh atau tidak orang Islam bekerjasama dengan orang kafir? Orang kafir ini selamanya tidak akan terima Islam. Jawapannya, boleh. Nabi semasa hendak berpindah ke Madinah bekerjasama dengan orang kafir.

Kenapa Nabi bekerjasama dengan orang kafir untuk tunjuk jalan ke Madinah? Apakah Jibril tidak boleh tolong tunjuk jalan kepada Nabi? Apakah Nabi tidak boleh dapat wahyu tunjuk jalan ke Madinah. Mengapa ambil orang kafir untuk tunjuk jalan?

Nabi juga bekerjasama dengan orang kafir dalam muamalat. Nabi gadai baju besi kepada Yahudi. Sampai Nabi wafat, baju besi itu ada pada orang Yahudi itu. Adakah tidak ada orang Islam yang boleh tolong Nabi sehingga kena gadai baju? Tidakkah menantunya Uthman Affan kaya, bapa mentuanya, Umar Al-Khattab kaya.

Tapi ia bukan soal kaya miskin. Nabi nak beritahu umat Islam boleh bekerjasama dengan orang kafir. Jadi, dari mana datangnya haram bertahaluf dengan bukan Islam itu?

Sedangkan haram hukumnya jika kita mengharamkan benda yang tidak haram atau mengharamkan barang yang dihalalkan Allah. Tahaluf itu tetap halal disebabkan Nabi buat. Apabila Nabi buat, maka halallah apa yang kita buat ini kerana ia menurut tindakan Nabi. Jika kita haramkan barang yang Allah halalkan, itu dosa yang amat besar.

Maka sebab itu undi PAS dibolehkan, diharuskan, malah disyariatkan, dan ada masanya wajib hukumnya.

No comments:

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::