01 September 2010

Wudhuk


Dari Umar bin al-Khattab r.a katanya:” Ada seorang lelaki berwudhuk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi s.a.w. Disebabkannya baginda bersabda:”Ulang kembali wudhukmu dengan sempurna dan sebagus-bagusnya!” Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia solat.”

(Muslim)

Huraian

Wudhuk mempunyai enam rukun dan syarat sah wudhuk bergantung kepada enam rukun tersebut. Jika tertinggal atau sengaja meninggalkan salah satu daripada rukun itu, maka wudhuk dikira tidak sah. Rukun-rukun wudhuk ialah:-

1. NIAT, iaitu diniatkan di dalam hati untuk mengambil wudhuk yang ertinya "Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta'ala".

2. MEMBASUH MUKA, mengalirkan air serta meratakannya keseluruh muka yang dibasuh, dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut hendaklah diratakan seluruhnya) dan dari telinga kanan hingga ke telinga kiri- disunatkan sebanyak 3 kali.

3. MEMBASUH KEDUA TANGAN HINGGA KE SIKU, mengalir dan meratakan air dari bahagian siku hingga ke hujung jari. Mulakan dari tangan kanan dahulu diikuti tangan kiri, juga dilakukan sebanyak - 3 kali.

4. MENYAPU AIR DI KEPALA iaitu menyapu kepala dengan air sekurang-kurangnya tiga helai rambut dan yang lebih baik ialah menyapu seluruh kepala. - 3 kali.

5. MEMBASUH KEDUA KAKI, mengalir dan meratakan air kepada dua kaki serta celah-celah jari kaki tumit hingga buku lali, mulakan sebelah kanan dahulu. - 3 kali.

6. TERTIB iaitu mengikut turutan, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.

Malaikat Pencatat Selawat

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang melakukan dua atau lebih dari jenis-jenis amal kebajikan untuk mencapai keredhaan Allah, ia akan diseru oleh Malaikat dari pintu-pintu Syurga, katanya: "Wahai Hamba Allah! Pintu ini lebih baik bagimu memasukinya! Maka sesiapa yang membanyakkan jenis sembahyang: ia tetap diseru dari pintu sembahyang, dan sesiapa yang membanyakkan jenis perjuangan: ia tetap diseru dari pintu perjuangan, dan sesiapa yang membanyakkan jenis puasa: ia tetap diseru dari pintu puasa yang bernama: Rayyan, dan sesiapa yang membanyakkan jenis sedekah: ia tetap diseru dari pintu sedekah." Mendengarkan yang demikian, Abu Bakar r.a berkata: "Ayah dan ibuku menjadi galang gantimu Ya Rasulullah (dalam saat kecemasan)! Tiadaklah menjadi sebarang kesusahan kepada orang yang dijemput masuk dari setiap pintu itu bahkan satu kemuliaan kepadanya, maka adakah sesiapa yang dijemput masuk dari semua pintu itu?" Nabi s.a.w menjawab: "Ia ada! Dan aku harap engkau seorang dari mereka yang berbahagia itu."
(Abu Hurairah r.a)

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Setiap amal kebajikan yang dilakukan oleh orang-orang mukmin akan dibalas oleh Allah S.W.T dengan ganjaran yang setimpal sekalipun amalan itu Cuma sekecil zarah.

ii) Di hari akhirat kelak, bagi orang yang membanyakkan ‘jenis’ amal kebajikannya, para malaikat syurga akan memberikan kemuliaan dan penghormatan yang tinggi kepada mereka sehingga masing-masing berebut-rebut menjemputnya masuk melalui pintu yang dijaganya.

iii) Sebaik-baik amal adalah yang disertai dengan hati yang ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah S.W.T bukanlah untuk menunjuk-nunjuk (riya’) dan sebagainya kerana hal ini amat dibenci oleh Allah.

iv) Di samping melakukan ibadah wajib kita juga digalakkan mempelbagaikan amalan sunat kerana yang demikian itu boleh menguatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T.

Bezakan Puasa Dengan Orang yahudi Dan Nasrani

Daripada Amru bin al-Aas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perbezaan diantara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.” (Muslim)

Huraian
1. Manusia sejak dari zaman dahulu kala lagi telah mengenali amalan puasa. Mereka berpuasa bukan sahaja didorong oleh agama tetapi juga kerana beberapa tujuan tertentu.

2. Ibadat puasa yang telah diwajibkan ke atas umat Islam juga telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, cuma terdapat beberapa perbezaan :

i. Orang-orang Islam menyegerakan berbuka puasa sedangkan orang Yahudi dan Nasrani melambat-lambatkannya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Agama akan sentiasa tampak syi'arnya dengan nyata selama orang Islam berbuka puasa dengan segera (tepat pada waktunya), sebab orang-orang Yahudi dan Nasrani melambatkannya.

ii. Disunatkan bagi orang Islam yang berpuasa makan sahur sebelum masuknya waktu subuh kerana dengan makan sahur boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailulah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zohor) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail.

3. Umat Islam hendaklah berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan tidak mengerjakannya kerana menganggap bahawa ia adalah suatu tradisi (ikut-ikutan). Bahkan apa sahaja ibadat yang dilakukan perlu dilakukan dengan ketaatan dan kesedaran tentang kewajipan untuk mengerjakannya.

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::