24 October 2012

Fadhilat dan Hikmah Korban


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu.
-Riwayat at- Tirmidzi


Huraian Hadith:

i) Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.


ii) Antara hikmah korban adalah:

a) Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.
b) Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.

c) Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.


ii) Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban amat besar. Antaranya ialah:

a) Menambah amal kebajikan- Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".(Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

b) Sebagai penebus dosa- Sabda Rasulullah s.a.w kepada Sayyidatina Fatimah:

Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".(al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
c) Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah- Sabda Rasulullah s.a.w:

Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla."

04 October 2012

Nikmat dunia yang paling baik

Hadith: Riwayat: Muslim

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Dunia adalah keseronokan dan sebaik-baik keseronokan dunia ialah perempuan (isteri) yang solehah (baik)”.

Huraian Hadith:

1. Segala nikmat kesenangan dan kemewahan yang ada di dunia ini adalah untuk sementara waktu sahaja. Ia akan lenyap apabila mana seseorang itu meninggal dunia.

2. Nikmat dunia yang paling baik ialah isteri-isteri yang solehah iaitu yang mentaati suaminya dan bertakwa kepada Allah.

3. Isteri yang baik (solehah) adalah sebab kebahagian didunia dan akhirat, serta dapat membantunya untuk taat kepada Allah, kerana itu lelaki hendaklah mengutamakan perempuan yang kuat pegangan agamanya daripada yang lain.



01 October 2012

Wanita

Riwayat: Bukhari dan Muslim


Hadith:
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “Hendaklah kamu saling meminta nasihat tentang perkara-perkara kebaikan kepada kaum wanita kerana sesungguhnya kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu membetulkan dengan kekerasan nescaya ia akan patah, jika ditinggalkan (dibiarkan tanpa nasihat) nescaya kekal ia dalam keadaan bengkok maka saling menasihatilah dengan penuh kesabaran dan berlemah lembut”.

Huraian Hadith:

1. Para suami hendaklah bersikap bijaksana dalam membentuk kehidupan isteri-isteri mereka. Jika berlaku sebaliknya akan mengakibatkan kepincangan rumahtangga yang mungkin berakhir dengan perceraian.

2. Adalah menjadi kewajipan setiap suami untuk memberi didikan dan tunjuk ajar secukupnya dengan penuh kesabaran kepada isteri mereka agar tidak terumbang-ambing dalam hidup.
3. Berulang-ulangnya pesanan Rasulullah SAW mengenai wanita menunjukkan ia sangat-sangat penting kerana mereka adalah golongan yang lemah dan perlu kepada orang yang melindungi mereka dan menguruskan hal mereka serta mengawal pergerakan mereka ini kerana kebebasan tanpa sempadan yang diberikan kepada anak-anak gadis menyebabkan berlakunya kepincangan besar dalam masyarakat yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

4. Hadis ini memberi tunjuk ajar dan panduan kepada lelaki supaya bertolak ansur dan bersabar dalam berinteraksi dengan kaum wanita. Suami mestilah bersabar terhadap sikap isteri yang kurang memuaskan kerana lelaki lebih mampu sabar.





WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::