Berikut ialah petikan ucapan Datuk Menteri Besar Kelantan pada Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 di Dewan Besar, Kompleks Islam Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.
Maksudnya: Alif, Laam, Miim “Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 1-2)
Syukur kita ke hadrat Allah S.W.T dengan limpah dan kurniaNya kita dapat berkumpul dalam Dewan Besar Balai Islam Lundang ini untuk sama-sama kita mengikuti majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke 56 tahun 1434H bersamaan 2013M. Saya bagi pihak kerajaan negeri sangat berbesar hati kerana Negeri Kelantan buat julung-julung kalinya terpilih untuk menjadi tuan rumah kepada Majlis Tilawah kali ini. Penganjuran Majlis ini diharap menjadi suatu motivasi supaya masyarakat negeri Kelantan terus mengungguli pentas tilawah sebagaimana telah dibuktikan oleh tokoh-tokoh al-Quran secara tradisinya.
Sesungguhnya umat Islam di Kelantan memang terkenal dengan masyarakat yang sangat minat dengan ilmu-ilmu Islam. Justeru Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih setinggi-tingginya di atas kesediaan kerjasama kerajaan pusat menganjurkan majlis sebesar ini di negeri ini.
Dalam konteks perpaduan ummah, contoh dan model perpaduan ummah telah pun ditunjukkan secara jelas oleh Rasulullah SAW semasa Hijrahtul Rasul ke Madinah. Masyarakat Madinah sebelum ketibaan Rasulullah SAW adalah masyarakat pelbagai bangsa yang saling perang dan bermusuhan antara satu sama lain. Asas permusuhan adalah dasar mementingkan kaum atau pun assabiyyah yang akhirnya mewujudkan kefahaman melampau dan membawa kepada perpecahan antara ahli masyarakat.
Dalam masyarakat Jahilliyah, fahaman assabiyyah yang sempit ini boleh memungkinkan apa juga berlaku kemungkaran seperti pergaduhan, pertelingkahan dan juga peperangan sesama mereka. Ini kerana mereka lebih mementingkan bangsa mereka sendiri tanpa memikirkan kesannya kepada ahli-ahli masyarakat yang lain.
Namun selepas ketibaan Rasulullah SAW di Madinah, keadaan berubah sama sekali dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW. Persaudaraan antara kaum Aus dan Khazraj yang sebelum ini kelihatannya mustahil telah menjadi kenyataan apabila ia diasaskan di atas dasar akidah Islamiah. Hubungan persaudaraan yang wujud antara kaum Ansar dan Muhajirin merupakan satu lagi bukti bahawa Islam adalah agama yang membawa perpaduan ummah. Islam menekankan perpaduan berasaskan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia.
Masyarakat yang sebelum ini sering bertelingkah dan bersilih faham telah menjadi satu masyarakat yang bersatu padu. Ini menjadi satu bukti yang tidak dapat dinafikan lagi bahawa hanya dengan berpegang kepada Islam, perpaduan ummah boleh diwujudkan.
Sesungguhnya, asas utama perpaduan ummah dalam Islam adalah berasaskan kepada ayat al-Quran seperti mana dalam firman Allah SWT (bermaksud):
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai”.
(Ali Imran, ayat 103)
“Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia”.
(Ali Imran ayat 112)
Islam adalah agama ciptaan Allah SWT untuk umat manusia. Rasulullah SAW sebagai utusan dan bukti kasih sayang Allah kepada seluruh manusia sebagai mana firman Allah SWT (maksudnya):
“Tidaklah Kami mengutus engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.”
(Al-Anbiya: 107)
Kerana itu Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh umat manusia. Islam bukan hak mutlak sesuatu kaum atau bangsa. Malah hakikatnya Islam dianuti oleh seluruh bangsa yang ada di dunia dan tidak hanya tertumpu kepada bangsa Arab sahaja. Setiap manusia yang beragama Islam adalah bersaudara dan asas persaudaraan itu adalah Islam. Islam ialah satu agama bersifat inklusif yang boleh dianuti oleh semua bangsa. Islam bukanlah agama eksklusif milik sekelompok manusia sahaja.
Mesej perpaduan yang perlu kita bawa mestilah berasaskan Islam yang menjaga kebajikan dan kemaslahatan ummah seluruhnya. Hanya dengan Islam sahajalah seluruh umat manusia akan hidup dalam keamanan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Sehubungan dengan itu, peranan setiap individu Muslim adalah sangat penting dalam memahami tugas dan tanggungjawab mereka dalam menjaga ummah yang telah dibangunkan oleh Rasulullah SAW. Ini adalah tanggungjawab dakwah yang perlu dilaksanakan bersama oleh semua pihak.
Umumnya, keruntuhan ummah boleh diakibatkan dari kesalahfahaman, ketidakfahaman, kejahilan dan keangkuhan manusia terhadap perintah Allah swt dan Rasulullah saw. Perpecahan dalam kalangan ummah Islam tidak boleh diambil ringan dan tugas untuk membetulkan semula keadaan ini adalah satu tuntutan Islam dan ianya selaras dengan perutusan Rasulullah saw yang membawa risalah dakwah Islam bagi membimbing umat manusia ke arah kebenaran.
Dalam memangkin perpaduan ummah, iltizam daripada beberapa pihak amat diperlukan dalam merangka, melaksana dan memantau program yang dirancangkan.Perpaduan ummah amat berkait rapat dengan konsep amal jamaie yang memerlukan kesatuan dan keselarasan fikrah dalam semua tindakan.
Pihak pemerintah adalah amat penting kerana mereka yang menentukan hala tuju masyarakatnya. Tugas utama sesebuah kerajaan Islam adalah untuk memastikan Islam menjadi dasar pemerintahannya. Maka, amanah yang dipikul ini perlu dilaksanakan sebaiknya kerana mereka akan dipertanggung jawabkan di hadapan Allah SWT.
Tanpa peranan berkesan oleh pihak kerajaan, tugas untuk menjadikan Islam sebagai agama yang menekankan kepada kesatuan ummah tidak akan tercapai.
Dalam Islam, masjid bukanlah semata-mata sebagai satu tempat untuk beribadat sahaja, malah masjid dalam Islam adalah pusat pembangunan ummah Islam yang komprehensif. Masjid adalah nadi kepada kewujudan masyarakat Islam. Jika kita perhatikan diseluruh dunia, masjid-masjid yang dibangunkan adalah lambang keagungan dan perpaduan ummah Islam seluruhnya. Islam telah menegaskan tentang peranan penting masjid yang dapat menyatupadukan manusia di atas nama kalimah suci Islam dan Iman.
Dalam konteks ini, peranan masjid bukan sahaja untuk menjaga, membantu, menyokong perkembangan masyarakat yang menjadi ahli kariahnya, tetapi ianya melangkaui tugas membantu saudara-saudara baru, dan masyarakat sekitarnya termasuklah juga masyarakat bukan Islam. Tugas ini adalah tugas dakwah dapat memperluaskan peranan masjid.Ini adalah komintmen masjid dan masyarakat untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya. Masjid yang dilengkapi pelbagai kemudahan masyarakat, perpustakaan, pendidikan, kesihatan, bank, pos, kedai dan keperluan lain masyarakat boleh menjadikan masjid sebagai pusat sehenti masyarakat yang lengkap. Maka, iltizam semua pihak diperlukan untuk merealisasikan masjid sebagai pemangkin perpaduaan ummah
Dalam sistem pendidikan di kebanyakan negara masa kini, pendidikan formal khususnya sekolah kelihatannya telah mengambil alih sebahagian besar tugas keluarga untuk mendidik generasi muda. Kesannya, sekolah kini menjadi semakin signifikan dalam aspek perkembangan diri dan pengetahuan pelajar-pelajar. Tugas guru adalah amat penting jika dilihat kepada sirah Nabawiyyah. Tugas ini perlu dikaitkan dengan tugas sebagai pendakwah dan dengan erti kata lain seorang guru adalah juga seorang pendakwah atau da`i.
Sehubungan itu, setiap guru perlu terlebih dahulu memiliki keiltizaman sahsiah atau personaliti yang unggul sebelum berusaha untuk membentuk sahsiah para pelajarnya melalui proses pendidikan tersebut. Mereka perllu dibangun dengan sifat-sifat keperibadian yang unggul, ketokohan dan pewatakan yang sempurna untuk memastikan keberkesanan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan pendidikan.
Tingkah laku dan sikap guru sentiasa beriltizam akan diperhati dan dinilai oleh pelajar-pelajar bukan sahaja semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah atau di dalam sekolah malah juga ketika di luar kawasan sekolah. Guru-guru perlu diberikan latihan yang berterusan agar mereka dapat menggerakkan sistem pendidikan menjadi pusat pembangunan ummah yang berkesan.
Ibubapa perlu memainkan mereka dalam memberikan kefahaman kepada anak-anak mereka seperti pepatah Melayu “melentur buluh biarkan dari rebungnya”. Bagi menyokong program kerajaan dan sekolah, ibu bapa hendaklah berusaha mendidik anak-anak mereka dengan pendidikan Islam semenjak di rumah lagi. Iltizam yang diberikan oleh ibubapa akan banyak membantu anak-anak mereka berjiwa Islam dan dekat kepada Islam. Didikan agama yang mantap akan menjadikan anak-anak mereka berjiwa agama sekali gus akan meletakkan Islam sebagai asas pemikiran dan falsafah hidup mereka.
Media massa juga perlu mempunyai komitmen yang tinggi terhadap Islam dan mereka mesti mempunyai roh atau berjiwa Islam. Kesungguhan media massa adalah amat penting dalam memberikan pandangan, penilaian dan promosi terhadap sesuatu perkara yang berlaku.
Maka, itlizam yang berteraskan kepada penghayatan Islam amat perlu bagi mewujudkan budaya penulisan dan penyiaran yang positif. Usaha memupuk perpaduan ummah perlu mendapat sokongan daripada pihak media kerana mereka mampu menyampaikan maklumat dan ilmu kepada semua peringkat masyarakat. Media massa perlu menyiarkan rancangan dan melaporkan yang boleh mewujudkan rasa kasih sayang antara semasa umat Islam dan masyarakat seluruhnya.
Namun, apa yang menyedihkan, kewujudan akhbar, televisyen, radio, majalah, blog dan facebook yang bersikap negatif dan anti terhadap Islam sangat merugikan perpaduan ummah masa kini.
Budaya menabur fitnah, memutar belit fakta, mengelirukan kenyataan dan adu domba oleh sekelompok penulis dan pemberita yang tidak beretika telah memberikan kesan negatif kepada perpaduan ummah Islam khasnya di Malaysia. Bagaimana ummah boleh bersatu padu jika mereka sentiasa disogokkan dengan berita dan maklumat yang salah dan mengelirukan?
Sikap negatif ini perlu dihentikan segera kerana ia melambatkan lagi proses perpaduan ummah. Media massa kini perlu mempunyai satu iltizam iaitu membantu, memperkenal, dan membudayakan Islam sebagai ad-Din dan tidak akan melakukan perkara yang merosakkan masyarakat. Konsep amar makruf dan nahi mungkar perlu difahami dan dihayati oleh setiap penerbit, ketua editor, wartawan dan pengamal media seluruhnya. Mereka perlu bertanggungjawab dengan apa yang mereka laporkan dan siarkan dihadapan Allah SWT.
Kesimpulannya, tugas dan tanggung jawab untuk membangunkan ummah adalah menjadi tanggung jawab yang perlu dilaksanakan sebaiknya setiap peringkat masyarakat. Pihak kerajaan, masyarakat, guru dan ibu bapa serta media massa mempunyai tugas yang perlu mereka laksanakan sebaiknya. Iltizam semua pihak ini amat diperlukan untuk memastikan ummah Islam sentiasa bersatu padu dan mendapat keredhaan Allah swt.
Perpaduan ummah hanya akan berlaku jika berpegang kepada ajaran Islam sepenuhnya. Maka, adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk menolak ajaran dan pemikiran yang bertentangan dengan tuntutan syarak. Tanggungjawab kita adalah untuk mengesakan Allah SWT dalam kehidupan dan menolak segala bentuk kesyirikan dan kebatilan. Justeru, di sinilah letaknya tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa al-Quran yang dibaca bukan setakat untuk dipersembahkan bacaan dan dipertandingkan tetapi juga menjadi rujukan tertinggi dalam apa juga penyelesaian konflik masyarakat. Saya yakin dan optimis jika kita semua kembali kepada al-Quran sebagai rujukan, insya Allah pelbagai pertembungan yang sedang berlaku dalam diselesaikan.
Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini terutamanya kepada YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (Bersara) Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Haji Amar bin Nik Abdullah Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan, YB Dato’ Haji Nasruddin bin Daud Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, YB Dato’ Dr Haji Zainuddin bin Haji Ibrahim Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Berbahagia Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM dan semua pihak yang telah menjayakan program ini dan tak lupa juga kepada tetamu-tetamu yang hadir, Ketua-Ketua Jabatan, Yang Berhormat-Yang Berhormat serta para hadirin semua. Semoga program sebegini akan terus dilaksanakan di negeri Kelantan sebagai bukti kerjasama yang terjalin antara kerajaan negeri dan pusat demi kebaikan rakyat Kelantan, Insya-allah.
Berpandang tuan ke tengah halaman
Perigi mati di pinggir hutan
Bertandang tuan dengan senyuman
Pergi nanti dalam sebutan.