22 December 2014

FAM Disaran Bertindak


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperketat peraturan perpindahan pemain jika tidak mahu isu rundingan ‘pintu belakang’ terus berlaku setiap kali menjelmanya musim baharu Liga Malaysia.


Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, kes melibatkan pemain Harimau Muda, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir yang secara diam-diam menandatangani kontrak dengan Felda United FC, jelas bertentangan dengan peraturan badan induk bola sepak kebangsaan itu.


“Sekarang kita minta FAM laksanakan syarat lebih ketat, apa bentuk hukuman jika kelab sudah mengaku berunding dengan seseorang pemain yang ada kontrak. Sudah lama saya sebutkan masalah ini, saya hendak tengok (bagaimana) mereka kuat kuasakan (peraturan).


“Adakah bakar suar dan mercun lebih besar kesalahannya? Sebenarnya kesalahan kelab dan pemain lebih besar daripada penonton kerana ia melibatkan semua industri. Sebab itu, setiap tahun ada sahaja cerita pemain tandatangan kontrak sana-sini sebab kita tidak ada kawalan,” katanya kepada media di Kota Bharu, semalam.


Sinar Harian semalam melaporkan status Muhammad Ferris Danial yang terus menjadi persoalan setelah pemain berkenaan masih gagal kembali melaporkan diri bersama Kelantan sehingga menimbulkan rasa kurang senang pihak Kafa.


Menurutnya, perkara tersebut jelas terkandung dalam peraturan Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) di mana sesebuah kelab tidak boleh sama sekali berunding dengan mana-mana pemain yang masih mempunyai kontrak dalam apa jua bentuk termasuk bertemu atau menulis surat melainkan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.


“Dalam kes Muhammad Ferris Danial, semua pihak kena faham dia masih mempunyai kontrak bersama FAM sehingga 31 Disember 2015. Bererti dia merupakan pemain milik FAM dan kontraknya juga masih sah sehingga tarikh berkenaan.


“FAM memulangkan semula dia kepada Kelantan kerana Harimau Muda tidak terbabit dengan sebarang pertandingan dalam tempoh yang panjang. Kita mempunyai bukti hitam putih apabila FAM mengeluarkan surat mengarahkan dia kembali kepada negeri kelahirannya,” katanya.


Namun, tegas Annuar, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila pengurusan Felda United terus berunding dengan penyerang berusia 22 tahun itu, tanpa pengetahuan persatuannya.


“Soal Kelantan hendak pakai atau tidak itu terpulang kepada kami. Sebenarnya jika Felda United FC hendak pemain itu, mereka boleh datang berunding dengan Kelantan.


Kita bukan tak pernah beri pemain kepada pasukan lain. Tak ada masalah pun, asalkan mereka mengikut saluran yang betul. Kita mahu peraturan itu dihormati semua pasukan,” katanya.


www.sinarharian.com.my

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::