27 March 2009

Kelantan Memendam Pelbagai Khazanah Pelancongan

Oleh Norshazlina Nor'Azman

KOTA BAHARU, 27 Mac (Bernama) -- Apabila bercadang bercuti, ramai daripada kita tertarik untuk melancong ke negara asing. Tetapi pernahkah anda berfikir untuk mengembara ke destinasi menarik di dalam negara?

Kelantan misalnya? Kita selalu mengandaikan tidak banyak yang menarik di negeri Cik Wan Kembang itu tetapi menurut Pengarah Pelancongan Kelantan Muhammad Zaki Talib, anda boleh meneroka beribu khazanah bersejarah, monumen dan artifak yang tidak ternilai serta kaya dengan hutan semula jadi dan spesies hidupan liar yang jarang ditemui.



Kelantan adalah sebuah negeri yang sering mendapat perhatian dalam arena politik negara, namun begitu apa juga polemik, konflik atau kontroversi politik yang terjadi di Kelantan ia sama sekali tidak akan mampu memadamkan keunikan negeri berkenaan sebagai satu daripada destinasi pelancongan di negara ini.

Selain terkenal sebagai sebuah negeri yang menghasilkan wau bulan dan batik, Kelantan juga mempunyai bandar dan tempat menarik yang seharusnya menjadi pilihan kita untuk melancong. Antaranya ialah Kota Baharu, Jeli dan Dabong.

Peluang pengamal media menjelajahi dan menerokai kota tersebut atas jemputan Kementerian Pelancongan Malaysia baru-baru ini sebenarnya menjanjikan apa yang tidak disangka-sangka, ianya menawarkan gabungan pakej pelancongan serba lengkap - tasik, pulau, gua, kawasan hutan hujan serta kawasan pedalaman yang cukup menarik.

TASIK PERGAU GAMIT PENCINTA ALAM

Jika anda pencinta alam semulajadi, bercuti ke Taman Santuari Tasik Pergau di Batu 18, menjanjikan satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan dengan keindahan alam semulajadi hasil pembinaan empangan hidroelektrik di Pergau.


Tasik Pergau mungkin tidak sepopular Tasik Banding, tetapi ia berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung ke kawasan ini dan suasana damai dan keindahan semulajadinya menjadikan Tasik Pergau satu destinasi yang amat sesuai untuk mencari ketenangan jiwa.

Kedamaian itu menanti anda hanya kira-kira dua jam memandu dari bandar Kota Baharu. Berada pada paras ketinggian 720 meter (2,400 kaki) dari aras laut, suhu sehingga 18 darjah Celsius sudah cukup menjanjikan suasana damai selain melihat kabus menyelimuti tasik berkenaan.

Taman Santuari Tasik Pergau seluas 460 hektar, yang terletak 100 kilometer dari bandar Jeli, menjanjikan pengalaman percutian yang tidak akan mungkin dilupakan. Bagi kaki pancing, di situlah 'syurga' untuk menangkap spesies lampam, tilapia, toman dan pelbagai lagi.



Dikelilingi hutan tertua di dunia yang dikatakan lebih tua daripada Hutan Amazon, Brazil suatu yang lebih istimewa adalah ia berada pada suhu kedinginan yang dikatakan menyamai suhu di Cameron Highlands ketika malam.

Pengunjung hanya perlu menyewa bot untuk jelajah pulau-pulau di tasik berkenaan. Sepanjang perjalanan ke pulau, pengunjung disajikan panorama alam semulajadi yang kaya dengan aneka flora dan fauna serta jajaran pokok kelapa dengan pelepah yang melambai-lambai ditiup angin serta rumpunan pokok buah-buahan melengkapkan keunikan tasik itu.



Tasik Pergau seolah-olah tidak mati pada sebelah malamnya. Dengan hanya RM70, termasuk kos menaiki bot, setiap pengunjung dapat bermalam di calet terapung yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (Kesedar) di tasik tersebut. Malah, 30 tapak perkhemahan disediakan bagi mereka yang mahu merasai kedinginan malam.

Pengunjung juga boleh mencuba aktiviti kayak dengan harga RM20 bagi dua orang ataupun treking hutan dengan diiringi pemandu pelancong bertauliah.

PANORAMA ALAM SEMULAJADI DABONG

Pekan kecil Dabong ibarat alam kayangan bagi mereka yang menghargai kehijauan belantara, kesegaran udara dan berminat dengan khazanah rimba serta gemar kepada cabaran alam semulajadi.



Terletak kira-kira 160 km ke barat Kota Baharu, Dabong yang dikelilingi hutan tropika yang menghijau merupakan sebuah lokasi yang amat sesuai untuk aktiviti rekreasi yang mencabar seperti mendaki gunung, menjelajah gua dan berakit menerjah arus deras dan jeram.

Bagi mereka yang minat mendaki, Gunong Stong yang dikatakan mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara, dengan terjunannya sejauh 297 meter (990 kaki), terletak di Hutan Simpan Dabong, mampu memberi cabaran hebat yang memerlukan stamina yang tinggi.

Gunung ini memang sesuai bagi mereka yang cintakan alam semulajadi dan kedamaian. Para peserta akan terpesona dengan air terjunnya, flora dan fauna yang senantiasa menanti kedatangan pengunjung.

Aktiviti 'hiking' di bukit-bukit batu kapur di sekitar kawasan ini boleh mendedahkan pengunjung kepada beberapa jenis flora dan fauna yang unik dan sukar didapati di tempat lain.

Jika langkah kanan, pengunjung juga berkemungkinan bersua dengan gajah Asia dan burung-burung bukit batu kapur termasuk layang-layang gua.

EKSPLORASI MENJELAJAH GUA

Kunjungan ke Dabong tidak lengkap jika tidak menerokai Gua Ikan dan gua lain yang terdapat di sekitarnya seperti Gua Gelap atau juga dikenali sebagai Gua Batu Susun, Gua Keris dan Gua Pagar.



Nama Gua Ikan diperoleh ekoran daripada terdapatnya batu yang kelihatan seperti ikan. Ianya mempunyai mitos tersendiri bahawa terdapat sejumlah besar ikan menghuni di gua tersebut dan ia juga dijadikan lokasi bagi masyarakat Melayu kuno untuk melangsungkan acara perkahwinan.

Untuk sampai ke Gua Keris dan Gua Pagar pula, pengunjung perlu melalui Gua Gelap yang agak sukar kerana hanya boleh dimasuki dengan berjalan mengiring dan kemudian merebahkan badan secara melentang sejauh kira-kira 20 meter untuk melepasi pintu gua yang rendah dan sempit.



Seperti namanya, Gua Gelap amatlah gelap. Cuma sesekala, galur-galur cahaya yang menyuluh masuk dari celahan dinding yang terbuka seakan menyerlahkan isi gua itu untuk ditatap.

Gua Gelap atau dikenali sebagai Gua Batu Susun juga memperoleh nama daripada pelbagai bentuk batu yang tersusun rapi di sepanjang laluannya. Stalaktit dan stalagmit yang terbentuk hasil daripada titisan dan hakisan air ribuan tahun dahulu, bersinar apabila disuluh.

"Kebanyakan lapisan batu yang tersusun itu telah diusik dan digerakkan oleh mereka yang mencari batu zamrud yang kononnya banyak terdapat di gua itu ditambah dengan vandalisme", kata seorang pemandu peneroka gua Fauzi Hussin.

BATU GUA UKIRAN SEMULAJADI

Di Gua Keris pula, pengunjung perlu memanjat batu yang agak licin dan sebaik tiba di dalamnya anda akan melihat terpacaknya 'sebilah keris' yang terbentuk hasil cantuman stalaktit dan stalagmit.


Gua berkenaan yang luas dan lantai yang agak mendatar dikatakan pernah didiami oleh manusia dahulu kala. Satu kawasan lapang di dalamnya dikatakan pernah digunakan sebagai tempat berlatih silat.

Keindahan pelbagai bentuk stalaktit dan stalagmit yang terukir secara alami yang antaranya berkilauan apabila terkena cahaya akan melekakan setiap pengunjung ke gua itu yang menyimpan banyak kisah silam.

Di gua itu terdapat sejenis flora istimewa yang sukar ditemui di tempat lain yang dikenali sebagai 'Vaughan's Balsam'. Selain di situ, ia dikatakan hanya terdapat di Perlis dan Selatan Thailand.



Di situ juga anda dapat menemui pelbagai haiwan dan serangga seperti sejenis kala jengking yang sekali imbas kelihatan seperti labah-labah dan dapat menyaksikan sekumpulan kelawar bergayutan di bumbung gua.

Apa yang pasti, sekurang-kurangnya tempoh setengah hari diperlukan untuk mereka yang benar-benar ingin meneroka keseluruhan gua-gua di sini, apa lagi bila anda terpegun melihat pelbagai bentuk stalaktit dan stalagmit hasil hakisan air dalam gua sejak jutaan tahun lalu yang menghiasi gua-gua berkenaan.

CUBA CARA HIDUP KAMPUNG

Jika anda juga teruja mencari sedikit kelainan ketika bercuti dan ingin mencuba cara hidup di kampung, apa kata singgah dan merasai sendiri pengalaman tinggal di homestay Kampung Seterpa, Jalan Penggawa Mat Saat yang terletak hanya 16km dari bandar Kota Bahru.

Nama Seterpa diambil sempena dialek Kelantan iaitu 'serepak' yang bermaksud tempat pertemuan, ini kerana pada masa dahulu Seterpa merupakan tempat pertemuan di antara tentera Raja Daerah Limbat iaitu Long Gaffar dengan tentera Raja Jembal dari Kedai Lalat.

Perjalanan memakan masa kira-kira hanya setengah jam dari bandar Kota Bahru. Apa yang menanti anda di situ mempunyai keistimewaan tersendiri malah boleh membuatkan jadual persinggahan dianjak lebih lama.


Anda bukan sahaja akan dapat menikmati keenakan masakan kampung yang disajikan tuan rumah malahan mempelajari cara hidup desa dan adat resam mereka. Anda akan dihidangkan dengan menu ala kampung sebenar seperti kerabu jantung pisang, sambal pauh, serunding, kuih tradisional dan ulam-ulaman segar.

Antara aktiviti yang boleh anda sertai di sini termasuklah lawatan industri kampung dan kraftangan, mengutip siput gondang, meninjau penternakan ikan air tawar, menoreh getah, melukis batik, menyagat kelapa, demonstasi beruk memanjat dan memetik buah kelapa selain persembahan kebudayaan seperti galah panjang, dikir barat dan kertok.

Inap desa tersebut menyediakan kemudahan penginapan istimewa kepala pelancong domestik dan luar negara yang terdiri dari rumah tradisional hinggalah ke rumah moden mengikut citarasa dan pilihan para pelancong. Sebanyak 30 buah rumah yang dijadikan rumah homestay dengan jumlah 45 buah bilik penginapan.

Lawatan setengah hari di kampung tersebut tanpa bermalam hanya dikenakan RM60 manakala bagi yang ingin bermalam hanya RM130 hingga RM200.

Program menginap di desa atau dikenali sebagai homestay pasti menyimpan kenangan di hati pengunjung luar selain daripada membantu ekonomi masyarakat desa. Ia amat sesuai dikunjungi oleh mereka yang ingin merehatkan minda dan lari daripada kesibukan kota.


Jadi, bagi mereka yang masih mencari destinasi pelancongan yang menawarkan segala-galanya, Kelantan sememangya memenuhi ciri-ciri dan kriteria diidamkan. Tidak keterlaluan dikatakan, kunjungan itu nanti mampu membantu menghilangkan seketika masalah dan keserabutan fikiran.

Keterangan lanjut mengenai tempat-tempat menarik di Kelantan, boleh diperoleh dengan menghubungi Pelancongan Malaysia Kelantan di talian 09-7477554.

No comments:

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::