19 June 2009

Air Mata

PERNAHKAH anda menangis? Jika menangis, apakah punca dan sebabnya? Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri.

Firman Allah AWT, “…dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis.” (Surah An Najm, ayat 43)

Allah yang menciptakan ketawa dan tangis, malah menciptakan sebab tercetusnya tangisan. Banyak air mata mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata, mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering. Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti! Kalaulah air mata itu terkepung, seperti air hujan, banjirlah dunia ini....

10 jenis tangisan menurut Ibnu Qayyim al-Jawziyyah

1. Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.
2. Menangis kerana rasa takut.
3. Menangis kerana cinta.
4. Menangis kerana gembira.
5. Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6. Menangis kerana terlalu sedih.
7. Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9. Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10. Menangis orang munafik iaitu pura-pura menangis.

Tangis tercela atau terpuji?

Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah SWT, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah. Antaranya menangis tengok filem Hindi atau menangis sehingga meratap mayat dengan meraung, memukul-mukul dada dan badan, malah merobek pakaian apabila ada kematian.

Ada pula tangisan sangat-sangat dipuji dan dituntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa-dosa yang lalu atau tangis kerana takut akan azab dan siksa Allah SWT.

Tangisan dapat memadamkan api Neraka

Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka. Ini disahkan oleh Rasulullah SAW dalam satu hadis yang bermaksudnya: “Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”

Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah. Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa, malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-Nya sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.

Air mata taubat Nabi Adam a.s.

Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendonggak ke langit tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan. Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir di jurang Serandip. Dari air matanya itulah Allah telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum akan air mata Adam lalu berkata, “Manis sungguh air ini.” Nabi Adam terdengar lalu menyangka burung itu mempersendakannya lalu ia memperhebatkan tangisannya.

Lalu Allah mendengar dan menerima taubat Adam dan mewahyukan, “Hai Adam sesungguhnya belum Aku pernah menciptakan air lebih lazat daripada air mata taubat mu!”

Air mata yang tidak dituntut

Janganlah menangis kalau tak tercapai cita-cita.. Bukankah Tuhan yang telah tentukannya?
Janganlah menangis kerana menonton filem, itukan cuma lakonan saja.
Janganlah menangis kerana cinta tak berbalas mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan.
Janganlah menangis jika gagal dalam seleksi pekerjaan mungkin kita kurang membuat persediaan.
Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang bersedekah dan beramal.
Janganlah menangis kalau tidak dinaikkan pangkat. Yakinlah, rezeki itu adalah pemberian Allah SWT.

Sabda Rasulullah s.a...w maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang telah difardhukan oleh Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sesungguhnya semua amal tergantung pada niat dan amal yang sedikit tetapi dikerjakan dengan ikhlas adalah lebih baik daripada amal yang banyak tetapi tidak ikhlas. Sifat taqwa merupakan benteng yang menjadikan seseorang itu merasa dekat dengan tuhannya tanpa mengira situasi apapun ia berada sama ada di dalam kelopok orang ramai atau bersendirian.. Setiap perlakuannya dipersembahkan kerana Allah.

Tanda-tanda keikhlasan iman kepada Allah itu banyak. Di antaranya ialah seseorang itu akan menangis kerana menyesali dosa-dosa yang telah dilakukannya dan menangis kerana takutkan siksaan Allah. Dan seseorang itu akan berani dalam berjihad menegakkan agama Allah hingga sanggup menghadapi kecedaraan malah menempuh syahid kerana Allah dan seseorang itu akan sabar dan tekun (khusyuk) dalam menjalankan ketaatan kepada Allah hingga terdapat kesan-kesan lebam di dahi dan anggota badannya. Semua ini merupakan ciri-ciri orang yang benar-benar beriman di mana ganjaran daripada perbuatan tersebut amat besar pahalanya di sisi Allah SWT dan diberi ganjaran di hari akhirat kelak.

Salman al-Farisi r.a berkata, sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara, iaitu:

1. Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan para sahabat.
2. Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya.
3. Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka

Air mata tanda rahmat

Sebagaimana yang telah diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud, jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu :

1. Apabila dahinya berpeluh.
2. Airmatanya berlinang.
3. Hidungnya keluar cecair seperti hingus.

Kerana hal-hal tersebut menandakan rahmat Allah SWT untuk si mayat.

Dari Abu Hurariah r.a., dari Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Ada tujuh golongan yang mendapat naungan dari Allah SWT pada hari kiamat kelak, di mana tidak ada sama sekali naungan pada hari itu melainkan naungan dari Allah SWT;

1. Imam (raja atau penguasa) yang adil,
2. Pemuda yang menjadi dewasa dalam beribadat kepada Allah,
3. Orang yang hatinya tergantung di masjid,
4. Dua orang yang saling mencintai satu sama lain kerana Allah. Mereka berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah....
5.. Seorang laki-laki yang dirayu oleh seorang wanita bangsawan yang cantik untuk berbuat mesum, lalu dia menolak dengan kata, 'Aku takut kepada Allah.'
6. Orang yang bersedekah dengan diam-diam, sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang disedekahkan tangan kirinya.
7. Orang yang mengalir air matanya ketika berzikir, mengingat dan menyebut nama Allah dalam keadaan bersunyi diri kerna mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah SWT."

(Shahih Muslim, diriwayatkan juga oleh Abu Daud dan Ibnu Majah)

Sucikanlah empat hal dengan empat perkara :

1. Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
2. Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
3. Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan
4. dosa-dosa yang silam disulami dengan taubat kepada Dzat yang memiliki mu.

Simpanlah air mata tangisan itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah SWT.....

Justeru, serulah air mata itu dari persembunyiannya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis, membasahi dan mencuci hati, sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-Nya.

No comments:

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::