Satir maksudnya batasan bagi orang yang solat. orang yang solat di atas
sajadah bererti sajadahnya itu dianggap sebagai satir. Orang solat di atas
lantai ruangan yang luas begitu juga orang yang solat di padangpasir
misalnya, disuruh membuat satir atau batas. satir itu boleh dibuat dengan
memacakkan kayu di hadapan kita, boleh dengan menggaris tanah, boleh
dibuat dengan meletakkan sesuatu benda dan sebagainya.
Diriwayatkan oleh Abdul Razaq, bahawa Umar bin Khattab melihat seorang
pemuda sedang mengerjakan solat. Beliau berkata pada pemuda itu: "Wahai
pemuda, majulah ke depan dan dekatkan badanmu ke tiang itu supaya ia
menjadi satirmu. Jangan biarkan syaitan mempermainkan solatmu. Ini
bukanlah saya katakan sendiri tetapi yang aku dengar dari Rasulullah SAW."
Riwayat dari Ibnu Abi Syaibah, dari Umar bin Khattab mengatakan: " Apabila
solat salah seorang kamu hendaklah solat dengan satir supaya syaitan tidak
lalu dihadapannya ."
Umar bin Khattab adalah manusia yang amat mementingkan masalah satir.
Apabila beliau tidak mendapat sesuatu untuk dijadikan satir, beliau
letakkan songkoknya di hadapannya ketika solat. Apabila beliau melihat
orang mengerjakan solat tanpa satir atau batasan, beliau duduk di depan
orang yang solat itu untuk menjadi satir. Ini maksudnya supaya jangan ada
lagi orang yang lalu di antaranya dan diantara orang yang solat itu.
Riwayat dari Abdul Razaq, yang diterima dari Abdullah bin Syaqiq
mengatakan: Umar bin Khattab lalu di tempat orang yang mengerjakan solat
dalam tidak memakai satir. Setelah orang itu selesai solat, beliau
berkata: " Kalau engkau tidak membuat satir, nanti orang akan lalu di
hadapanmu. Tetapi kalau tahulah orang yang lalu itu bagaimana dosanya lalu
di hadapan orang yang solat, dia tidak akan melakukannya" .
Apabila kita sedang mengerjakan solat, kemudian nampak orang yang mahu
lalu di hadapan kita, maka kita berhak melarangnya. Umar ada mengatakan: "
Jangan biarkan orang yang lalu di hadapanmu kerana jika dia lalu akan
diiringi oleh syaitan ."
No comments:
Post a Comment