FAKTOR kebangkitan luar biasa pasukan yang kurang menyerlah pada pertengahan musim nyata dibimbangi Kelantan selaku penyandang juara Piala Malaysia, apabila memulakan saingan kempen edisi ke-87 itu, pada 20 Ogos depan.
Pengurus The Red Warriors, Azman Ibrahim berkata, ia ancaman yang semakin menjadi-jadi setiap kali pertandingan itu berlangsung sekali gus menggambarkan betapa saingan piala paling berprestij itu sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri.
Menurutnya, Negeri Sembilan membuktikan pada 2010 dan 2011 apabila gagal menyerlah dalam saingan Liga Super, namun mencipta kejutan layak ke perlawanan akhir disusuli Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengulangi perkara sama pada musim lalu setelah menjuarai Liga Premier.
“Saya perhatikan setiap tahun, ada sahaja pasukan yang tiba-tiba menonjol. Bagi saya, tidak ada istilah pasukan pilihan dalam pertandingan ini meski pun Kelantan turun selaku juara bertahan musim lalu.
“Macam Sarawak dan Sime Darby FC, mereka dari Liga Premier, tetapi merupakan pasukan Liga Super musim depan. Jadi keupayaan mereka setanding pasukan lain. Begitu juga Kedah, yang mampu menggugat Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam Piala FA,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pasukannya berdepan misi sukar mempertahankan kejuaraan dan perlu bekerja keras kerana kempen Piala Malaysia merupakan satu pertandingan yang cukup berbeza berbanding saingan Liga Super atau Piala FA.
No comments:
Post a Comment