29 November 2013

Didik anak rajin solat

DARIPADA Abu Hurairah ra; Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “sesungguhnya yang mula-mula dihisab pada seorang hamba pada hari kiamat daripada amalannya ialah solat.

Jika solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi.”(Riwayat Tirmizi, Nasaei & Ibnu Majah)

Hadis di atas menjelaskan ibadat solat adalah yang paling penting untuk dilaksanakan setiap Muslim. Maka, menjadi peranan ibu bapa untuk memperjelaskan perkara ini kepada anak-anak kecil mereka.

Penyelaras Unit Perhubungan Korporat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Siti Fatahiyah Mahamood, berkata dengan teknologi canggih hari ini, memudahkan lagi ibu bapa memberi pendedahan dan mengajar anak-anak mengenai solat.

"Kewujudan cakera padat dan multimedia yang semakin banyak di pasaran hari ini, sama ada secara percuma atau berbayar memudahkan ibu bapa memberikan pendedahan dan pembelajaran secara lebih interaktif dan mudah difahami.

Kewujudan al-Quran digital dan maya juga dapat membantu anak-anak memahami dan mengetahui bacaan-bacaan dan doa dalam solat dengan lebih cepat," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, tidak dinafikan ibu bapa sekarang mengambil berat berkaitan pendidikan solat kepada anak-anak, namun ia perlu diseimbangkan dengan pendidikan akademik.

Kecemerlangan akademik yang diperoleh melalui proses diredai ALLAH akan memberikan kehidupan yang baik, penuh rahmat dan berkat.


Mendisiplinkan anak bersolat

Rasulullah SAW bersabda: "Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). (Riwayat Abu Daud)

Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah SAW amat menekankan ibadat solat dan menyuruh ibu bapa mengajar anak bersolat seawal umur tujuh tahun.

Sebelum umur tujuh tahun, anak-anak perlu didedahkan dengan kepentingan solat melalui aktiviti atau permainan yang dapat menjinakkan mereka melakukan ibadat solat seperti memperdengarkan nasyid-nasyid berkaitan solat, menayangkan CD multimedia berkaitan solat, memperlihatkan animasi islamik berkaitan solat dan yang penting membiasakan anak-anak melihat ibu bapa sendiri mengerjakan solat secara berjemaah bersama ahli keluarga yang lain.

Siti Fatahiyah berkata, di samping memberi pendedahan kepada anak-anak berkaitan solat, perlu juga diajar tujuan kita bersolat dan mengajar anak-anak berkaitan sifat-sifat ALLAH yang sentiasa melihat hambaNya.

“Apabila anak mula mencapai umur tujuh tahun, maka ibu bapa dikehendaki mula mengajar secara terperinci kaedah solat dan pergerakan yang betul ketika solat termasuk bacaan-bacaan yang penting dalam solat.

“Berikan masa untuk mereka berlatih mengerjakan solat dengan betul. Tetapi apabila anak-anak berumur 10, maka mereka perlu dirotan jika gagal melaksanakannya,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengajaran ini perlu dilakukan secara disiplin kerana jika gagal mengajar mereka ketika di umur sebegitu, maka kita akan menghadapi kesukaran untuk memastikan mereka mengerjakan amalan solat ketika berumur belasan tahun ataupun puluhan tahun.


Nabi suruh rotan anak

Sebenarnya apa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW iaitu merotan anak jika gagal mengerjakan solat ketika berumur 10 tahun itu adalah sangat tepat.

Kerana jika ibu bapa terlepas mendidik anak-anak ketika usia sebegitu maka ibu bapa akan menghadapi pelbagai kesukaran dan masalah bagi mengajar anak solat pada usia remaja atau belia atau usia emas.

Pada usia sebegini apabila diajar maka ibu bapa pula dimarahi atau ditengking. Namun sebagai ibu bapa tugas mendidik harus dilaksanakan. Jika dirujuk kepada tahap pendidikan Rasulullah SAW, ketika peringkat ini perlu digunakan pendekatan yang begitu rasional.

Kebijaksanaan ibu bapa amat diperlukan dalam menyampaikan pengajaran ini agar menampakkan kesan yang serius dan begitu mendalam pada penaakulan pemikiran anak-anak di peringkat ketiga atau keempat ini melalui analogi dan contoh-contoh yang diberikan.

Contohnya apabila anak-anak yang telah bekerja tiba-tiba berasa marah dan dendam kepada syarikat yang lewat membayar gaji. Sudah pasti mereka berasa dizalimi dan berasa tidak adil apabila kerja telah mereka laksanakan selama sebulan tetapi syarikat tidak memberikan gaji seperti dijanjikan.

Maka pada saat inilah ibu bapa harus menyedarkan anak-anak bahawa bagaimana pula kita yang telah dijadikan ALLAH dengan sempurna kejadian dan sampai masa ALLAH tunggu untuk kita sujud dan tunduk padanya tanda kita bersyukur tapi kita tidak laksanakannya.

Manakala bagi ibu bapa sendiri yang gagal melaksanakan ibadat solat, cuba kita fikirkan apakah perasaan kita jika anak-anak yang telah dewasa hanya akan perlukan ibu bapa ketika mereka sesak ketiadaan duit ataupun ketika mereka dalam kesusahan.

Pasti kita berasa marah dan kecil hati. Tapi apakah mungkin kita sendiri yang hanya akan ingat pada ALLAH ketika kita susah?

20 November 2013

Kakitangan Awam di Malaysia Terlalu Tinggi


Malaysia terus menduduki ranking tertinggi melibatkan jumlah kakitangan awam di Rantau pasifik meninggalkan jauh negara jiran-jiran yang lain termusuklah Singapore, Filipina, Thailand. Nisbah…
Nisbah Kakitangan Awam VS Penduduk Negara :

Kakitangan awam Malaysia : 4.68%
Kakitangan awam Indonesia : 1.79%
Kakitangan awam Filipina : 1.8%
Kakitangan awam Singapura : 1.4%

Satu Kajian yang telah dilakukan oleh Vistage Malaysia Sdn. Bhd – Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melalui Indeks Keyakinan CEO menunjukkan :



Daripada 332 Ketua Pegawai Eksekutif, sejumlah 304 CEO bersamaan 92% merasakan jumlah kakitangan awam di Malaysia adalah terlalu tinggi.
Manakala hanya 28 CEO mengatakan jumlah kakitangan awam adalah munasabah
70.8% @ 801,871 orang kakitangan awam di Malaysia bukan siswazah
Menjadikan Kakitangan Awam di Malaysia Lebih Efisen?

Kami tiada masalah dengan jumlah kakitangan awam di Malaysia setakat ini, tetapi yang Berita Semasa amat tekankan adalah isu non graduate ini mencapai 70% dalam sektor awam?

Berita Semasa berharap selepas ini kerajaan perlu mengurangkanpengambilan non graduate selepas ini, ditambah dengan lambakan graduan di Malaysia yang tidak mempunyai kerja ketika ini mencecah puluhan ribu setiap tahun.

Sebenarnya, untuk menjadi negara maju, harga tinggi yang perlu rakyat Malaysia bayar untuk kos operasi sektor awam mestilah dibalas dengan perkhidmatan sektor awam yang terbaik sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kepada pakar-pakar perunding luar yang bernilai berpuluh juta ringgit setiap tahun.

Mungkin kerajaan boleh pertimbangkan selepas ini, minimum kelulusan Diploma sahaja yang boleh berkerja dalam sektor awam.
Tiada lagi lulusan SPM atau PMR selepas ini. Setuju atau tidak?
Sekurang-kurangnya jawatan kerani perlu mempunyai kelulusan Diploma yang mungkin boleh dilaksanakan pada masa akan datang secara beransur-ansur
Mansuh & gabungkan jabatan @ kementerian yang tidak perlu

Sepatutnya, jumlah kakitangan berkadarlangsung dengan peratus kecekapan.

Kuantiti kakitangan = kualiti kerja
% pertambahan kakitangan = % peningkatan kecekapan bekerja

15 November 2013

GST dari perspektif Islam


Islam mempunyai sistem cukainya yang tersendiri. Sumber kepada sistem percukaian Islam ialah al-Quran, Sunnah Rasulullah SAW, ijmak dan kias. Ia telah diturunkan bukan sahaja adil bagi manusia keseluruhan, tetapi ia juga merupakan sistem yang mengstabilkan ekonomi, khususnya keseimbangan antara kuasa modal dan kuasa beli rakyat sebagai penjana produktivi.




Asas Ukuran Keharusan Cukai

Sesuatu hukum dirujuk kepada hukum asal yang telah dinaskan oleh sumber al-Quran dan al-Hadis. Hukum asal berkaitan harta orang lain adalah haram diambil melainkan mempunyai sebab yang dibenarkan syariat. Ini berpandukan kepada firman Allah SWT, bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”- (An-Nisa’: 29).


Di antara dalil yang lain ialah pesanan Rasulullah sewaktu Haji Wada’ (Haji Selamat Tinggal), antara lain nabi SAW berpesan, bermaksud:
“Wahai orang ramai, sesungguhnya orang yang beriman adalah saudara, tidak halal bagi seseorangpun (mengambil) harta saudaranya melainkan dengan kerelaannya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.


Hadis ini memaksudkan selain daripada zakat dan perkara-perkara yang dinaskan harus atau wajib diambil seperti zakat, yakni zakat bukan milik si pemunya harta bahkan ia adalah milik si fakir, miskin dan asnaf-asnafnya. Begitu juga tidak termasuk isteri atau anak dibawah tanggungannya kerana ia dianggap sebagai seakan-akan sekutu pemilikan. Adapun selainnya, maka ia adalah milik si pemunya dan tidak boleh diambil melainkan degan kerelaannya oleh sesiapapun termasuk kerajaan.
Dan sabda nabi SAW, Maksudnya:
“Apabila mereka melakukan demikian (Islam) maka darah dan harta mereka mereka adalah terpelihara melainkan (harta boleh diambil) dengan cara-cara yagn dibenarkan oleh Islam.” – Riwayat Bukhari.

Di dalam kitab Fathul Bari, Syarah Sahih Bukhari menyebut, zakat adalah salah satu cara pengambilan yang dibenarkan oleh Islam (sekalipun tuannya tidak merestuinya).

Ayat di atas menegaskan memakan harta orang lain adalah haram dan dikategorikan bentuk memakannya adalah batil. Ayat tersebut seterusnya menyenaraikan bentuk pengecualian yang mengharuskan mengambil harta orang, salah satunya ialah perniagaan.

Berdasarkan ayat ini, hukum asal memakan, mengambil dan memiliki harta orang lain tanpa sebab yang dibenarkan syariat adalah haram sehinggalah ada sebab dan dalil yang diharuskan syariat. Ia berbeza dengan hukum asal makanan, minuman dan bentuk muamalat, di mana hukum asal bagi semua perkara tersebut adalah harus kecuali ada tanda-tanda yang menunjukkan haram.

Justeru, apabila kita bertransaksi atau memakan sesuatu makanan yang tiada dalil dan bukti halal atau haram, maka hukum transaksi dan makanan itu adalah halal justeru merujuk kepada hukum asalnya yang harus. Tetapi berbeza dengan pengambilan harta atau wang milik orang, yakni hukum asalnya haram berdasarkan ayat di atas, kecuali ada dalil dan bukti halal. Justeru, apabila kita mengambil wang milik orang, jika tiada dalil dan bukti halal atau haram, maka hukumnya adalah haram justeru merujuk kepada hukum asalnya yang haram.

Sebagai contoh, kita boleh mengambil wang RM50,000 daripada Ahmad sebab kita jual kereta kepadanya. Sebab keharusan ialah jual beli (Al-Bai’). Kita boleh ambil wang daripada Ali sebanyak RM10,000 kerana kita membuat ubah suai rumahnya. Sebab keharusan ialah upah (ujrah). Kita boleh mengambil jam milik Ah Chong selepas kita membayarnya wang. Sebab keharusan ialah jual beli. Kita boleh mengambil wang daripada Abu kerana agihan keuntungan perniagaannya yang bermodalkan wang kita. Sebab keharusan ialah pelaburan (Mudharabah).

Apabila kita berjalan dan jumpa wang RM50,000, maka kita tidak boleh mengambilnya kerana tiada jual beli, tiada upahan kerja, tiada pengeluaran modal, tiada sebab-sebab yang membolehkan, maka hukumnya haram diambil dan RM50,000 tersebut dianggap sebagai harta laqatah (barang ciciran).


Maka hendaklah kita bertanya berkenaan GST, apakah sebab yagn membolehkan kerajaan mengambilnya daripada rakyat? Jika tiada sebab ‘sebenar’, maka hukumnya kembali kepada asal, iaitu haram dan termasuk di dalam kategori batil. begitu juga jika pemindahan hak berlaku dengan sebab, tetapi sebab itu tidak diiktiraf oleh Islam, maka ia juga adalah batil. Contohnya seperti pemenang judi yang mengambil bahagian pemain judi yang kalah, sekalipun judi adalah sebab pemindahan milik, tetapi ia tetap dikategorikan sebagai baatil kerana judi itu sekalipun sebab pengambilannya wujud, tetapi ia tidak diiktiraf oleh syarat.



Adakah Hukum Ini Terlaksana Juga Ke Atas Kerajaan Mengambil Wang Rakyat?

Selepas kita memahami bahawa hukum asal harta orang adalah haram kecuali dengan sebab yang dibenarkan syariat, maka persoalan keseterusnya adakah hukum ini terpakai atau terlaksana hanya ke atas individu dengan individu, manakala kerajaan terkecuali dengan dibolehkan ambil harta dan wang poket rakyat berhujahkan maslahah?

Di dalam mazhab ahlu sunnah wal jamaah, hukum ini bukan sahaja terlaksana antara individu dengan individu, tetapi ia juga terlaksana antara kerajaan dengan rakyat. Dalilnya cukup jelas daripada realiti berikut:

1. Pesanan nabi kepada Muaz bin Jabal sewaktu beliau diutuskan ke Yaman sebagai Gabenor. Baginda memberikan pesanan kepada beliau dengann kata-kata berbunyi: “Awasilah harta-harta suci yang dimiliki oleh orang Yaman”. Harta-harta suci yang dimaksudkan ialah harta yang dimiliki bukan bahagian zakat atau jizyah. Dalam riwayat Bukhari menyebut dengan lafaz: takutilah (daripada mengambil) harta-harta mereka yang suci.
2. Arahan Umar Abdul Aziz (Khalifah dari tahun 99H-101H) kepada semua gabenor supaya menghapuskan semua cukai kecuali ia mempunya nas daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Cukai-cukai zalim ini telah dikenakan sebelum ini khususnya pada zaman Hajjaj Yusof At-Thaqafi yang terkenal dengan kezaliman pemerintahannya di Syam, Iraq, Mekah dan Madinah dari tahun 70H – 95H.

Di dalam kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah karangan Imam Ibnu Kathir menceritakan, tatkala Saidina Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah, beliau memerangani pemimpin-pemimpin zalim sebelumnya yang telah mengenakan pelbagai cukai kepada rakyat. Antara salsilah pemerintah sebelum ini yang sangat dibenci oleh Umar Abdul Aziz ialah Yazid bin Mahlab, iaitu ipar kepada Hajjaj bin Yusof As-Thaqafi. Yazid bin Mahlab telah ditangkap oleh Adi bin Arthoh dan menyifatkan Yazid dan keluarganya (Mahlab dan Hajjaj) sebagai: “Mereka adalah pemerintah kuku besi dan aku bencikan mereka”. Saidina Umar Abdul Aziz memerintahkan supaya Yazid dipenjarakan sehingga semua harta orang ramai yang dikutip sebelum ini dikembalikan semula. (Al-Bidayah: m/s666). Pernah anak kepada Yazid bernama Makhlad meminta kelonggaran hukuman untuk ayahnya Yazid, tetapi Umar bertegas menyatakan bahawa ia tidak akan meringankan hukuman sehingga Yazid menyerahkan semua harta rakyat.

Begitu juga Saidina Umar Abdul Aziz telah menghantar kepada Gabenor Khurasan Al-Jarah bin Al-Hukmi yang telah mengenakan cukai Jizyah ke atas non-muslim yang telah memeluk Islam dengan alasan mereka memeluk Islam kerana ingin lari daripada Jizyah. Saidina Umar Abdul Aziz memecat Gabenor tersebut dengan menulis, maksudnya:
“Sesunggunyanya Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pendakwah bukan sebagai pengutip cukai.”

Di dalam satu riwayat yang lain, Saidina Umar juga memerangi Gabenor di Mesir yang telah mengenakan cukai pelabuhan dan mempertikaikan tindakan Umar Abdul Aziz untuk menghapuskan semua cukai yang tiada nas.

Itulah antara sebab menjadi ‘purchasing power’ rakyat pada zaman Umar Abdul Aziz meningkat, seterusnya memenuhi Baitul Mal. Kesannya tiada lagi penerima zakat dan pemberian selepas itu sehingga harta melimpah ruah. Velocity of Money terbaik berbanding sistem-sistem yang lain daripada Islam.

Itu antara contoh tindakan dan pendirian Khulafa ar-raasyidun yang diiktiraf oleh nabi sebagai ikutan (perbuatan mereka adalah hujah), tidak mengenakan cukai-cukai yang tidak dinaskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Semua dalil di atas adalah berkait dengan kerajaan mengambil wang rakyat. Jika pengharaman memakan harta orang lain tanpa sebab hanya diharamkan ke atas individu dan bukan kerajaan, nescaya kisah di atas tidak akan timbul dalam sejarah.

Apabila kita meneliti pendapat yang mengharuskan pengambilan harta rakyat tanpa bersumberkan kepada nas, kita dapati mereka keliru antara pendapat ahlu sunnah wal jamaah dan syiah. Ya, sebahagian syiah membenarkan pemimpin-pemimpin mereka mengambil harta rakyat sekalipun tanpa sebab kerana fiqh mereka bersumberkan akidah bahawa Imam (pemimpin) adalah maksum. Berbeza dengan Ahlu Sunnah wal jamaah, yakni akidah kita pemimpin tidak maksum, maka pemimpin tidak boleh mengambill harta orang lain tanpa sebab dan berasaskan maslahah akal semata-mata tanpa dipandu oleh nas.

Tuntasnya, hujah maslahah seterusnya membolehkan pemimpin negara mengutip wang rakyat sesuka maslahah, maka itu adalah amalan dalam fiqh syiah, bukan fiqh sunni.



Kenapa Kaedah Fiqh Tidak Boleh Dijadikan Hujah Dalam Isu Ini?

Antara hujah yang agak masyhur digunapakai oleh gologan yang membolehkan kutipan cukai sesuka hati ialah kaedah yang berbunyi (maksudnya):
“Tindakan pemimpin terhadap rakyat adalah berdasarkan maslahah.”

Golongan yang berhujahkan dengan kaedah ini melakukan kesilapan dari tiga sudut:
1. Dari segi mengguna pakai kaedah di tempat yang ada nas yang terang.
2. Kaedah bukan hujah, tetapi ia adalah garis panduan memahami nas dan hukum furu’. Oleh itu, kaedah hanya digunapakai ditempat yang tiada nas bukan ditempat yang berlawanan dengan nas.
3. Golongan yang mengguna pakai kaedah tadi bagi mengharuskan tindakan pemimpin mengutip cukai seolah-olah memahami bahawa kaedah tersebut bermaksud: ‘tindakan pemimpin negara semuanya adalah demi maslahah’ walhal sudut kaedah tersebut ialah tindakan pemimpin mestilah dipandu oleh maslahah, jika tidak, maka ia tidak boleh dilaksanakan.



Adakah Darurat Membolehkan Kutipan Cukai?

Dari segi hukum, boleh dikatakan ijmak ulama terdahulu mengenakan cukai ke atas rakyat tanpa sebab yang dibenarkan syariat adalah haram. Persoalan yang tinggal ialah, adakah darurat boleh mengharuskan cukai dikutip?

Pertamanya, maksud difahami maksud dan makna darurat. Darurat bermaksud sesuatu yang tanpanya akan menyebabkan manusia hilang agama, nyawa, harta, akal dan keturunan. Jika tidak sampai ke tahap itu, maka ia bukan darurat membolehkan kutipan cukai yang haram. dengan maksud lain, jika setakat ingin menambahkan pendapatan negara, maka ia bukan darurat yang dimaksudkan syariat.

Jika kita perhatikan, kutipan GST bukan bagi menampung sesuatu keperluan darurat yang dimaksudkan oleh Syariat, bahkan ia lebih bersifat memenuhi dan menampung keperluan sistem konvensional, di mana sistem itu sendiri adalah bercanggah dengan Islam kerana bersifat ‘memusingkan harta sesama golongan kaya’.

Darurat yang di maksudkan syariat seperti negara yang sedang terdesak untuk dapatkan wang membeli senjata bagi mempertahankan negara yang sedang diserang oleh musuh seperti berlaku pertembungan antara Sultan Mamalik dengan Imam Nawawi untuk kenakan cukai ke atas rakyat justeru Mesir pada masa itu berada pada saat genting justeru hendak diserang oleh tentera Monggol yang tidak terkalah.

Dalam keadaan darurat perang beginipun masih lagi berlaku khilaf dalam kalangan ulama adakah cukai yang tidak bersumberkan nas boleh dikutip?

Al-Dhohhak dan lain-lain berpendapat, cukai tidak harus dikenakan dalam apa keadaan sekalipun, manakala imam Juwaini, Al-Ghazali dan lain-lain berpendapat harus mengenakan cukai bagi keperluan-keperluan tertentu (darurat).

Jika diperhatikan khilaf ini, ia sebenarnya khilaf dari sudut keadaan dan suasana, bukan khilaf dari sudut dalil dan nas. Khilaf ini kita dapat simpulkan bahawa, jika zakat dan sumber lain mencukupi, maka ulama bersepakat bahawa cukai tidak harus dikutip daripada rakyat. Khilaf hanya berlaku jika sistem cukai Islam sumber lain tidak mengcukupi untuk keperluan Negara.

Bagi pendapat yang menyatakan harus mengutip cukai darurat, mereka telah meletakkan syarat-syarat yang mengharuskan kutipan cukai. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
1.Negara mestilah berpegang teguh dengan ajaran Islam. Dalam erti kata lain, negara mestilah menjalankan sistem ekonomi Islam termasuk sistem percukaian Islam sepenuhnya seperti zakat sebagai sistem cukai utama Negara.
2.Hajat kepada percukaian hendaklah benar-benar berlaku.
3.Baitul Mal benar-benar telah kekeringan sehingga tidak dapat memenuhi hajat dan keperluan rakyat.
4.Meminimakan seboleh mungkin tekanan terhadap individu rakyat dengan cara-cara yang selain cukai. Oleh itu, sebelum mengutip cukai daripada rakyat, kerajaan disarankan supaya mengutip sumbangan ikhlas serta menggalakkan rakyat memberikan derma dalam menyelesaikan sesuatu keperluan sebelum cukai dikenakan.
5.Kutipan cukai hendaklah diputuskan hasil perbincangan golongan fuqaha dan profesional berkait dengan isu tertentu.
6.Cukai hendaklah dikenakan ke atas orang-orang yang kaya sahaja dan ia langsung tidak harus dikenakan ke atas orang-orang miskin.
7.Cukai hendaklah dalam bentuk sementara. Ia akan terhapus dengan hilangnya hajat dan keperluan. Cukai tidak boleh dikenakan secara berterusan dan dijadikan pendapatan utama berbanding zakat.
8.Wajib meraikan keadilan di dalam perwartaannya dan pemungutannya. Maka kadarnya hendaklah sekadar keperluan. Keperluan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengutip cukai lebih daripada rakyat.

Sebahagian ulama seperti Imam Nawawi meletakkan syarat bahawa cukai apabila dikatakan darurat dan perlu, maka hendaklah terlebih dahulu ia dibayar oleh pemimpin tertinggi, jika tidak cukup maka ia baru diturunkan ke bawah dan ke bawah, tetapi tidak boleh sampai dikutip daripada golongan miskin. Beliau berkata kepada Sultan Zaher Bebrus: “Aku tahu bahawa engkau dulunya seorang hamba kepada Gabenor di Bendaqar dan engkau tiada harta satu pun. Kemudian Allah memberi peluang kepada engkau dengan diberikan pangkat raja. Aku dengar engkau mempunyai seramai 1,000 hamba dan setiap hamba tali pengikat kuda disaluti emas. Engkau ada 200 hamba perempuan dan setiap seorangnya ada emas. Apabila engkau keluarkan semua itu (sebagai pembayaran cukai) sehingga hamba-hamba engkau memiliki baju daripada kapas biasa berbanding memiliki perhiasan emas seperti sekarang, maka baru aku fatwakan engkau harus mengambil cukai daripada orang ramai.” – Al-Bidayah Wa An-Nihayah.



Kesimpulan Dan Penutup

Dari sini kita dapat simpulkan hukum cukai moden adalah haram menurut Islam berdasarkan sebab-sebab yang dinyatakan di atas. Sebagai seorang muslim (sama ada dalam bentuk individu atau kerajaan) tidak sepatutnya mengambil harta orang lain melainkan tempat-tempat dan keadaan yang dibenarkan oleh Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas dan dalil-dalil syarak.

Cara ini adalah cara-cara sistem ekonomi yang sama sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Khulafa Ar-Raasyidin seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Osman dan Saidina Ali, di samping cara Saidina Umar Abdul Aziz di atas.

Hari ini ada pemimpin yang cuba menonjolkan mereka juga adil seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Persoalanya, adakah mereka memahami bagaimana cara pemerintahan beliau? Sebagaimana pepatah arab menyebut: “Kamu mahukan kejayaan sedangkan kamu tidak melalui jalannya. Sesungguhnya kapal tidak akan berjalan di atas daratan.”

Bermaksud, jika anda mengkagumi keadilan Umar Abdul Aziz dan gah dengan Baitulmalnya melimpah ruah. Kemudiannya anda melaksanakan cara yang bukan ekonomi Islam yang telah ditelusuri oleh Saidina Umar Abdul Aziz, maka mustahil keadilan yang sama akan terlaksana.

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::