25 July 2014

Hikmah sebalik berpuasa bulan Ramadan

Oleh: Mohd Sulaiman Nuba (Ahli Syurah Ilmuwan Malaysia)

SESUNGGUHNYA mempunyai kesempatan untuk hidup dan beramal ibadah pada Ramadan adalah satu nikmat yang agung daripada ALLAH SWT. Bahkan, golongan salafuna soleh (orang soleh terdahulu) berdoa kepada ALLAH SWT semenjak enam bulan sebelum Ramadan.   

Sebahagian ulama salaf berkata: "Mereka (sahabat) berdoa kepada ALLAH selama enam bulan agar mereka dapat bertemu dengan bulan Ramadan". (Rujuk Lathaaiful Maa’arif)

Tindakan mereka ini adalah kesan yang wujud dalam diri akan kerinduan tibanya Ramadan al-mubarak dan sebagai usaha mereka agar ALLAH memilih mereka untuk hidup dan beramal soleh pada bulan al-Quran ini.

Selain itu, terdapat doa yang sentiasa dibaca oleh ulama salaf, Yahya bin Katsir rahimahullah iaitu “Ya ALLAH, bawalah diriku kepada bulan Ramadan, bawakanlah bulan Ramadan kepadaku dan terimalah amalan pada bulan Ramadan dariku”. (Rujuk Hilyatul Auliya’)

Hikmah berpuasa

(1) Memperoleh takwa kepada ALLAH

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 183)

Ayat ini jelas menunjukkan antara hikmah berpuasa adalah agar seorang hamba yang berpuasa itu memperoleh ketakwaan kepada ALLAH.

Disebabkan berpuasa, seorang hamba akan melaksanakan segala perintah ALLAH dan akan berusaha bersungguh-sungguh menjauhi segala larangan-Nya. Antara bentuk ketakwaan yang akan diperoleh daripada berpuasa adalah:

Pertama, orang yang berpuasa sebenarnya mempunyai keinginan untuk  makan, minum, bersama dengan isteri mereka dan sebagainya tetapi mereka meninggalkannya dalam rangka mendekatkan diri kepada ALLAH dan mentaati perintah-Nya iaitu berpuasa pada Ramadan.

Kedua, orang yang berpuasa sebenarnya mampu untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki diri mereka tetapi mereka mengetahui ALLAH selalu mengawasi mereka. Ini juga adalah satu bentuk ketakwaan kepada ALLAH.

Ketiga, ketika berpuasa, setiap orang yang berpuasa akan mempunyai  semangat untuk melakukan amalan ketaatan kepada ALLAH. Ketaatan merupakan jalan kepada ketakwaan kepada ALLAH.

(2) Mampu mengawal diri daripada hawa nafsu dan keinginan

Sepertimana yang kita sedia maklum, apabila seorang hamba ALLAH itu berpuasa, mereka diperintahkan untuk meninggalkan buat sementara waktu keinginan nafsu makan, minum, bersama dengan isteri dan pastinya perkara ini ditinggalkan untuk mengharapkan ganjaran pahala dan reda ALLAH.

Dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, ALLAH berfirman: "Dia (Orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan kerana-Ku."

Disebabkan berpuasa, kita akan dapat mendidik hawa nafsu dan keinginan yang kebiasaannya perkara-perkara ini menyebabkan seseorang itu lalai, tidak mensyukuri segala nikmat ALLAH. Ini adalah antara hikmah berpuasa di dalam bulan Ramadan.

(3) Menjadi motivasi untuk menjadi hamba ALLAH yang lebih baik

Setiap hamba ALLAH yang berpuasa Ramadan mengharapkan agar puasa yang mereka kerjakan tidak sia-sia dan pastinya mengharapkan ganjaran pahala daripada ALLAH.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: “Berapa ramai orang yang berpuasa namun hanya mendapat rasa lapar dan dahaga. Dan berapa ramai orang yang mengerjakan solat malam namun hanya mendapat rasa mengantuk."

Amat merugikan apabila seorang hamba yang berpuasa tetapi mereka hanya mendapatkan lapar dan dahaga sahaja, bahkan mengerjakan solat sunnah pada malam hari pun hanya mendapat rasa mengantuk sahaja.

Disebabkan itulah, setiap hamba ALLAH yang berpuasa hendaklah memelihara ibadah puasa mereka daripada perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan tidak berfaedah. Jauhilah perkataan yang sia-sia, berkata dusta, mencaci maki sesama manusia.

Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari : “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta (sewaktu berpuasa) maka ALLAH tidak sudi menerima puasanya meskipun ia telah meninggalkan makan dan minum."

Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Imam Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Puasa itu bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum sahaja. Namun ia juga menahan diri daripada perbuatan sia-sia dan keji. Jika seseorang memakimu atau membodohkanmu, maka katakanlah kepadanya : Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa."

Jadikanlah Ramadan ini sebagai jalan untuk berubah kepada hamba ALLAH yang lebih baik. Sebelum ini, berkemungkinan kita membuat banyak perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat, sia-sia tetapi jadikanlah Ramadan ini untuk menjauhi segala perkara-perkara tersebut.

(4) Dapat merasai kesusahan orang miskin dan berkasih sayang dengan mereka

Puasa akan menyebabkan seseorang hamba yang berpuasa lebih menyayangi orang-orang yang miskin kerana orang yang berpuasa juga berasa kesusahan menahan rasa lapar dan dahaga walaupun dalam tempoh seketika sahaja, tetapi disebabkan itu, mereka akan bersikap lemah lembut terhadap sesama mereka dan berbuat baik kepada mereka.

Motivasi untuk berubah

Dengan sebab inilah, orang yang berpuasa akan mendapatkan ganjaran pahala yang besar daripada ALLAH. Begitu juga dengan puasa, seseorang akan merasai apa yang dialami oleh golongan  miskin, fakir yang penuh kekurangan. Orang yang berpuasa akan merasai lapar dan dahaga sebagaimana yang dialami oleh mereka tadi.

Inilah yang menyebabkan kedudukan mereka tinggi di sisi ALLAH SWT. Dan banyak lagi hikmah daripada Ramadan al-Mubarak.

Semoga penulisan yang ringkas berkenaan hikmah di sebalik berpuasa Ramadan al-Mubarak ini bermanfaat buat golongan Muslimin yang beriman kepada ALLAH dan mengharapkan ganjaran pahala dan reda-Nya serta memberikan motivasi kepada insan yang ingin membuat perubahan kepada insan yang lebih baik dan dekat kepada ALLAH.

Semoga Ramadan kali ini menjadi titik permulaan kepada kita semua menjadi hamba ALLAH yang taat kepada-Nya mengikut petunjuk Rasulullah SAW sesuai dengan pemahaman salaful ummah.

Saya akhiri artikel ini dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan ulama hadis yang lain: “Pada setiap Ramadan ada penyeru dalam kalangan malaikat yang berseru : Wahai orang yang mengehendaki kebaikan kepada dirimu, maka buatlah kebaikan, dan wahai orang yang mengehendaki keburukan, maka kurangilah perbuatan buruk kamu."

No comments:

WELCOME AGAIN!

Hakcipta Terpelihara Parklee's Blogspot ::